Sunday, December 6, 2015

Misteri Peribadi Para Khalifah Bani Umaiyah

Pandangan ahlisejarah, terutama dari golongan kaum Muslimin sendiri, terhadap kemurahan-hati, cinta-damai dan kelapangan-dada yang telah dikenal pada peribadi pahlawan-pahlawan seumpama Mu'a-wiyah, Abdul Malik, al-Walid dan Umar bin Abdul Aziz. Begitu pula, perlu dingatkan bahawa usaha-usaha penyebaran Islam yang telah dilaksanakan mereka dengan baik, baik sebagai penakluk-penakluk, guru-guru atau mubaligh-mubaligh. Tiga orang pertama yang tersebut di atas itu telah berjasa untuk memanjangkan bendera Islam di berbagai daerah, sehingga ia berkibar dengan megahnya di daerah yang demikian luasnya, menaungi berjuta-juta, bahkan beratus-ratus juta umat manusia. Sedangkan yang keempat, iaitu Umar bin Abdul Aziz, dengan sifat-sifat keutamaan dan cinta-damai yang dimilikinya, telah berhasil menarik mereka yang berjuta-juta masuk ke dalam Agama Islam. Atau katakanlah, bahawa mereka dengan keinsafan sendiri telah menggabungkan diri kepada Agama Islam yang telah mencipta Khalifah-Khalifah yang jarang tolok bandingannya itu. Memang benar bahawa daerah Andalusia yang telah ditaklukkan Bani Umaiyah kemudiannya terlepas dari tangan kaum Muslimin, tetapi hal ini tidaklah terjadi pada masa pemerintahan Bani Umaiyah itu. Yang bertanggungjawab atas hilangnya daerah itu adalah mereka yang memegang pemerintahan berikutnya.

Inilah sinar terang yang kita gunakan untuk memulai perbahasan ini, yang kita maksudkan untuk membenarkan yang benar, dan untuk mengingatkannya kepada orang-orang yang belum menginsafinya selama ini. Iaitu mereka yang hanya melakukan perbahasan-perbahasan menurut aliran yang telah digariskan orang-orang lain yang terdahulu, tanpa memikirkan benar atau tidaknya, tanpa adanya kesedaran fikiran untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya yang benar. Dan kita pada masa ini, dalam kehidupan keislaman kita sangatlah memerlukan suatu pemerintahan Bani Umaiyah, yang akan dapat mewujudkan kembali "Persatuan Alam Islami" dan menggalang kekuatan yang maha-dahsyat yang dulunya pernah menggentarkan kerajaan-kerajaan yang terbesar di masa itu. Dan selanjutnya kita meneruskan perbahasan kita ini di bawah sinar terang yang tersebut di atas itu, tanpa menaruh rasa permusuhan terhadap Bani Umaiyah dan tidak pula bertindak sebagai pembela-pembela mereka, tetapi adalah sebagai orang yang berusaha mencari yang benar, walau bagaimanapun juga banyaknya kesulitan-kesulitan yang kita hadapi untuk mencapai tujuan itu. Dan apabila nanti kita menemukan sesuatu yang benar maka dengan gembira akan kita cantumkan, tanpa menoleh lagi kepada yang lainnya.

Apa-apa yang kita sebutkan dalam kata pendahuluan ini, menyebabkan kita harus mengeritik dengan tuntas terhadap kritikan Nicolson dalam bukunya A Literacy of the Arab, (ms. 139) bahawa

"kaum Muslimin menganggap kemenangan Bani Umaiyah di bawah pimpinan Mu'awiyah itu sebagai kemenangan Aristokratis-Wasaniyah yang telah memerangi Rasulullah dan para sahabatnya, dan yang telah ditumpas oleh Rasulullah dalam perjuangan yang memakan waktu yang lama, sampai mereka bertekuk-lutut di bawah kekuasaannya".

Kita sungguh tidak mengerti, kaum Muslimin manakah yang dimaksudkan oleh Nicolson ini. Adapun yang dituturkan dengan tegas oleh sejarah ialah, bahawa dalam masa pertarungan antara Ali dan Mu'awiyah, kekuatan Mu'awiyah semakin hari semakin bertambah kokoh, dan sebaliknya, pihak Ali semakin lemah. Dan banyak di antara tokoh-tokoh kaum Muslimin datang berpihak kepada Mu'awiyah dan memberi sokongan kepadanya, setelah mereka saksikan kemenangan Mu'awiyah semakin nyata, sedang dalam kalangan pengikut-pengikut Ali telah terjadi kekacauan dan pembangkangan terhadapnya, sehingga tidaklah menghairankan bahawa sesudah wafatnya Ali semua kaum Muslimin telah bergabung kepada Mu'awiyah. Dan Mu'awiyah sendiri pernah menjelaskan sebab-sebab kemenangannya itu, antara lain ialah: kerana ia lebih akrab kepada Quraisy, dibanding dengan Ali. Dan ini adalah suatu hal yang benar, yang cukup jelas, hampir bagi semua orang yang mengadakan penyelidikan dalam Sejarah Islam. Mu'awiyah berkata: Ada empat macam faktor yang telah menolong untuk mengalahkan Ali.

Pertama: Aku senantiasa menyembunyikan rahsia, sedang Ali suka membukakan rahsianya.

Kedua: Aku mempunyai tentera yang terbaik dan amat patuh, sedang Ali mempunyai tentera yang paling jelek dan amat pembangkang.

Ketiga: Aku biarkan ia bertempur melawan pasukan Aisyah yang menunggang unta, dan aku berkata dalam hatiku: Jika mereka dapat mengalahkan Ali, sudah barang tentu bagiku lebih mudah untuk mengalahkan mereka, dan jika Ali dapat mengalahkan mereka aku akan menuduhnya sebagai pembunuh mereka.

Keempat: Aku lebih dicintai oleh orang-orang Quraisy dari-pada Ali.

Pendapat dari al-Khudhari mengenai peribadi Ali bahawa ia bukanlah seorang yang disenangi oleh para pemimpin di masanya, kerana ia mengabaikan musyawarah dan ia terlalu percaya akan dirinya. Ustaz al-Khudhari menutup uraiannya dalam masalah tersebut dengan ucapannya bahawa:

"Sebab yang terutama dari tidak-stabil-nya keadaan di masa pemerintahan Ali, ialah kerana ia terlalu percaya kepada dirinya dan memandang hanya pendapatnya sajalah yang benar. Jarang atau hampir tak ada dia bermusyawarah dengan orang-orang besar Quraisy dalam urusan penting sekali-pun. Malah terhadap beberapa orang-orang besar Quraisy itu ia terlampau keras.

Dan akhirnya al-Khudhari memberikan suatu perbandingan antara kekerasan Khalifah Umar dan keke-rasan Ali, katanya:

“Umar memang bersikap keras, tetapi seluruh rakyat menyokongnya dan Ali bersikap keras pula, tetapi sebahagian besar rakyat menentangnya”.

al-Khudhari (dlm Tarikhul Umum al-Islamiyah)

Nampaknya Nicolson mengemukakan pendapatnya yang dangkal iaitu dengan berpegang pada kenyataan bahawa Bani Umaiyah itu sudah terlambat masuk Agama Islam. Tetapi hal ini tidaklah dapat dijadikan ukuran yang benar. Khalifah Umar pun lebih kemudian masuk Islamnya daripada Usman, Saad, Talhah, dan Zubir............, tetapi tak seorang pun di antara mereka itu dapat melebihi Umar tentang kekuatan Islamnya. Dan kaum Muslimin semuanya, termasuk Rasulullah sendiri merasa bertambah kuat dengan masuk Islamnya Abu Sufyan, Rasulullah pernah memberikan kehormatan yang tinggi kepada Abu Sufyan dengan menunjuk rumahnya sebagai suatu "haram", dimana orang-orang boleh mendapatkan keamanan dan ketenteraman.



No comments: