Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts

Thursday, June 8, 2023

Siapakah Bangsa banjar


Bangsa Banjar adalah salah satu suku bangsa yang berasal dari Kalimantan Selatan, Indonesia. Masyarakat Banjar umumnya tinggal di daerah-daerah seperti Kota Banjarmasin, Kabupaten Banjar, Hulu Sungai Selatan, dan sekitarnya. Mereka juga dapat ditemukan di beberapa daerah lain di Kalimantan Selatan.

Suku Banjar memiliki bahasa sendiri yang disebut bahasa Banjar. Bahasa ini termasuk dalam cabang Melayu-Polinesia dari keluarga bahasa Austronesia. Selain bahasa Banjar, banyak juga anggota suku Banjar yang bisa berbahasa Indonesia sebagai bahasa resmi negara.

Sejarah suku Banjar dapat ditelusuri kembali ke zaman kerajaan Hindu dan Buddha di wilayah ini pada abad ke-14. Pada abad ke-15, Islam mulai tersebar di kalangan masyarakat Banjar dan menjadi agama mayoritas di wilayah tersebut. Budaya Banjar sangat dipengaruhi oleh agama Islam, dengan adat istiadat dan tradisi yang unik.

Masyarakat Banjar dikenal dengan keahlian mereka dalam kerajinan tangan seperti anyaman, ukiran kayu, dan seni keramik. Mereka juga memiliki tradisi musik dan tarian yang khas, seperti tarian Baksa Kembang dan tarian Serampang Dua Belas.

Secara umum, orang Banjar dikenal sebagai masyarakat yang ramah, murah senyum, dan menjunjung tinggi nilai-nilai kekeluargaan. Mereka juga memiliki adat istiadat dan tradisi yang kuat dalam kehidupan sehari-hari, seperti adat perkawinan, adat berdiam diri setelah melahirkan, dan lain sebagainya.

Bangsa Banjar memiliki warisan budaya yang kaya dan beragam, yang terus dilestarikan dan dijaga oleh masyarakat Banjar hingga saat ini.

Tuesday, December 2, 2014





Keratan komik akhbar Skor Berita Harian berkaitan PPSMI

Apa yang penting? Penyampaian ilmu atau bahasa?


Thursday, February 14, 2013

Perjuangan untuk bahasa Melayu: Nasionalisme bahasa atau Nasionalisme etnik? Oleh: Wong Chin Huat


Sesetengah pihak yang menggelar diri mereka sebagai pejuang bahasa Melayu kebelakangan ini menggesa agar kebebasan berbahasa rakyat Malaysia disekat agar bahasa Malayu dapat diagungkan.
Mentaliti mereka ini berparadigmakan dasar perlindungan (protectionism) bahasa.  Ini bukan sesuatu yang baru.  Di dunia Barat, Perancis adalah salah sebuah negara yang asyik sangat untuk melindungi bahasanya daripada ancaman bahasa Inggeris.

Seperti dalam dunia ekonomi, apabila sesuatu itu perlu dilindungi, ia pastinya sesuatu yang lemah.

Bahasa Perancis tidak perlu perlindungan 200 tahun yang dahulu apabila ia adalah bahasa teragung di Eropah.  Kuasa-kuasa pesaing Perancis seperti Jerman, Australia dan Rusia menggunakan bahasa Perancis di istana mereka.

Bahasa Inggeris hari ini juga tidak menerima perlindungan daripada United Kingdom, Amerika Syarikat ataupun mana-mana negara Komanwel.  Sebagai bahasa yang paling berleluasa dituturi di dunia, Bahasa Inggeris hari ini lebih dipertuturkan sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda.

Kerana ini, bahasa Inggeris menyerap kosa-kata dan pengaruh daripada bahasa lain dengan kadar yang tinggi, sehingga bahasa Inggeris yang ditutur di pelbagai perusuk dunia itu semakin berbeza daripada bahasa klasik yang digunakan oleh Shakespeare, Yeats atau Charles Dickens.

Kalau dulu ada orang yang percaya bahawa seseorang yang bukan Inggeris boleh diinggeriskan dengan pendidikan bahasa Inggeris, kepercayaan ini langsung tidak berasas dalam era globalisasi ini.  Kebanyakan penutur bahasa Inggeris hari ini tidak berhajat untuk menjadi orang Inggeris.  Bahasa Inggeris menentukan daya saing mereka, bukan jati diri.

Perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Cina.  Penutur bahasa Cina sebagai bahasa asing semakin meningkat lantaran kebangkitan ekonomi negara China, sungguhpun ia mungkin mengambil masa sekurun sebelum ia mencapai kedudukan seperti bahasa Inggeris, di mana lebih penuturnya menuturinya sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda.

Di Malaysia sekalipun, semakin ramai budak bukan keturunan Cina yang bersekolah Cina, mencapai kira-kira 11% dalam murid sekolah rendah jenis kebangsaan bahasa Cina, mengikut data terkini, berbanding dengan cuma 7% murid sekolah rendah kebangsaan yang berketurunan bukan Bumiputera.

Persoalan yang para pejuang bahasa Melayu perlu membuat suatu ketetapan ialah sama ada bahasa Melayu harus diperjuangkan supaya ia berkembang seperti mana bahasa Inggeris dan bahasa Cina melampaui batasan keturunan malahan tamadun?  Ataupun, bahasa Melayu harus dipertahankan seperti bahasa Perancis yang semakin merosot keagungannya?

Ini suatu pilihan yang cukup besar yang tidak boleh dielakkan lagi oleh semua penutur dan pencinta bahasa Melayu.  Sudah tiba masanya untuk kita semua berterus-terang dan tidak bermain kata.

Apakah bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai intrinsiknya, yakni sebagai bahasa?  Ataupun bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai ekstrinsiknya, yakni sebagai alat untuk memajukan kaum Melayu?

Perjuangan pertama ialah nasionalisme bahasa, sementara perjuangan kedua ialah nasionalisme ethnic (kaum).  Bertentangan dengan keinginan subjektif ramai orang, kedua-dua perjuangan ini tidak sentiasa berkawan, sebaliknya mungkin berlawan.

Kalau tujuannya untuk mengagungkan sesuatu bahasa itu, maka insentif maksima harus diberikan kepada semua rakyat untuk bukan sahaja bertutur dalam bahasa itu, tetapi juga menambahkayakan ilmu pengetahuan dalam dan melalui bahasa itu.

Jika dasar ini cukup berjaya, kaum bukan penutur asal mungkin lebih fasih menutur bahasa itu daripada kaum penutur asal sehingga menerima paling banyak insentif dasar bahasa.

Ini sebenarnya berlaku di Malaysia di bawah Dasar Ekonomi Baru, yakni selepas dominasi kaum Melayu ditetapkan selepas rusuhan 13 Mei dan sebelum tamatnya Era Perang Dingin yang membawa liberalisasi ke seluruh dunia.

Dalam masa dua dekad itu, ramai anak-anak bukan Melayu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu demi berjaya dalam sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan bahasa Melayu.

Sekiranya kefasihan bahasa akan memberikan mereka peluang kerjaya yang lebih baik, seperti mana kefasihan dalam bahasa Inggeris, sudah pasti sekolah kebangsaan akan menjadi semakin popular dan sekolah-sekolah bahasa ibunda akan merosot.

Akan tetapi, kerana orang bukan Melayu tetap diberi layanan kelas kedua sebagai Bukan Bumiputera sekalipun jika mereka lebih fasih berbahasa Melayu daripada orang Melayu, insentif untuk orang bukan Melayu menguasai dan menggunakan bahasa Melayu adalah minima.  Inilah percanggahan keutamaan di antara nasionalisme bahasa dan nasionalisme kaum.

Ini menjelaskan mengapa peratusan anak Cina yang pergi ke sekolah rendah Cina memecut dari lebih kurang 70% pada awal perlaksanaan DEB ke hampir 90% pada dekad 1990-an.

Hakikat ini mungkin mengecewakan sesetengah orang Melayu: mengapa orang Cina di Indonesia dan Negara Thai sanggup diasimilasikan sepenuhnya tetapi orang Cina di Malaysia degil mempertahankan jati diri mereka?

Jawapannya ringkas sahaja.  Di Negara Thai, dasar nasionalisme budayanya bermakna sesiapa yang sanggup diasimilasikan sepenuhnya tidak akan menghadapi apa-apa diskriminasi.  Ini menjelaskan mengapa orang Cina Thai yang kebanyakannya beragama Buddha dengan mudahnya menerima asimilasi sebaliknya orang Melayu Thai yang berlainan agama dengan kaum majoriti merasai peminggiran dan ramai bangkit menentang.

Kalau orang Melayu sanggup mengikut contoh negara Thai (dalam konteks asimilasi bahasa sahaja) dalam tahun-tahun DEB (1971-1990), ramai orang bukan Melayu juga akan bersetuju menerima asimilasi sebagai syarat untuk kesamarataan sepenuh.  Pokoknya, apakah orang Melayu sanggup menerima syarat sebegitu?  Hari ini, dengan globalisasi, asimilasi sepenuhnya sudah lenyap sebagai sebuah opsyen dasar.

Mungkin ada yang tertanya: bagaimana pula di Indonesia?  Orang Cina Indonesia menerima asimilasi sungguhpun mereka tetap didiskriminasi pada zaman Order Baru?

Jawapannya juga ringkas.  Orang Cina cuma merangkumi kira-kira 3% daripada penduduk Indonesia, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menentang polisi kerajaan, ini terutamanya selepas pembunuhan besar-besaran orang komunis dan kaum Cina pada tahun 1965.

Dalam erti kata lain, apabila kaum majoriti mempunyai kuasa mutlak, ia menjadi rasional untuk kaum minoriti menerima asimilasi dan diskriminasi pada masa yang sama, kerana alternatifnya - penentangan - kebarangkalian besar cuma akan membawa maut.

Sekali lagi, kaedah ini cuma mungkin berjaya semasa Perang Dingin kerana keganasan politik sebagai alat pihak kerajaan untuk mencapai matlamat politiknya tidak akan ditoleransi oleh dunia hari ini.

Dengan ketibaan Era Globalisasi, paksaan termasuk asimilasi sudah pasti menerima kegagalan.  Sekalipun bahasa Melayu dipaksakan ke atas semua rakyat, bahasa Melayu tidak akan maju di dalam negeri selagi kita tidak menutup pintu daripada dunia dan menjadi Korea Utara kedua.

Ini adalah sebab pejuang-pejuang bahasa harus memikir semula apakah sebenar perjuangan yang diingini?

Kalau untuk berjuang demi kaum penutur asal, yakni orang Melayu, pengagungan bahasa melalui paksaan - dan bukan peningkatan keupayaan bahasa itu - mungkin lebih memudaratkan daripada menguntungkan bukan sahaja seluruh rakyat, tetapi juga orang Melayu sendiri.

Sudah nyata, sikap authoritarian dalam bahasa Melayu akan menyebabkan anak-anak Melayu kurang berminat mempelajari bahasa lain dan akhirnya mereka akan kurang berdaya saing di arena antarabangsa.  Malahan, kita mungkin kehilangan lebih bakat-bakat yang tidak percaya dengan dasar eka-bahasa, termasuk bakat orang Melayu sendiri.

Kalau kita ingin membangunkan penutur asal bahasa Melayu, yakni orang Melayu, maka kita kena cari cara yang lebih berkesan.

Kalau perjuangan adalah benar-benar untuk memajukan bahasa tinggalan nenek-moyang, maka bahasa Melayu mesti disebarkan ke khalayak orang bukan Melayu malah di luar sempadan Malaysia atau negara-negara Nusantara.

Daripada segi ini, ada baiknya bagi pejuang-pejuang bahasa mengimbas kembali sejarah kebangkitan bahasa Melayu.

Sememangnya kebangkitan awalnya mungkin terhutang budi kepada penutur asalnya di kawasan Palembang-Jambi, yang membina Empayar Sri Vijaya, akan tetapi, kejayaan seterusnya tidak dapat dijelaskan dengan kuasa politik.

Mengapa bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca di Nusantara di bawah Empayar Majapahit yang rajanya berbahasa-asalkan Jawa?  Kuasa SriVijaya pada zaman keagunganya juga tidak merangkumi Kepulauan Maluku dan Kepulauan Nusatenggara yang tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa "antarabangsa" dalam urusan dengan penduduk dari pulau lain.

Perkara ini berulang pada 1928 apabila golongan nasionalis muda memilih untuk menjunjung bahasa Melayu (namanya bahasa Indonesia) dan bukan bahasa majoriti (yakni bahasa Jawa) sebagai bahasa kebangsaan.  Mengapa pemimpin-pemimpin revolusi keturunan Jawa tidak meletakkan bahasa sendiri sebagai bahasa perpaduan?

Ini sudah tentu berkenaan dengan ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa.  Ia ringkas, mudah dipelajari tetapi juga kurang feudalistik daripada bahasa Jawa.

Dalam memperjuangkan bahasa Melayu, kita mesti mempertingkatkan kegunaan bahasa.  Dan apakah musuh paling besar kepada bahasa Melayu itu?  Bukan kebebasan bahasa lain untuk digunakan, tetapi sekatan ke atas penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.

Tanyalah kita sendiri: apakah rasionalnya kalau edisi asal bahasa Inggeris "The Origin of Species" oleh Charles Darwin itu boleh didapati di kedai buku dan perpustakaan tetapi penterjemahan buku itu dalam bahasa Indonesia itu diharamkan?  Apakah bahasa Melayu dapat berjaya jika disekat daripada membawa ilmu pengetahuan yang tidak disukai oleh sesetengah pihak?

Usaha sesetengah pihak yang cuma mengIslamkan bahasa Melayu - yakni menjadikan ia sejenis bahasa yang hanya boleh membawa pengetahuan yang sesuai dengan Islam dan oleh itu tidak boleh digunakan oleh penganut agama-agama bukan Islam untuk tujuan agama - itu sebenarnya sedang cuma melemahkan dan melesukan bahasa itu sahaja.

Kalau orang bukan Islam di Malaysia pun tidak dibenarkan menggunakan bahasa kebangsaan untuk tujuan keagamaannya, apakah peluang bahasa Melayu boleh maju di luar Malaysia, Brunei dan Singapura.  Sebenarnya, kalau kita bandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, bahasa Indonesia jauh lebih dinamika kerana pelbagai isu boleh dibincangkan dalam bahasa itu dan usaha-usaha penterjemahan itu tidak berhenti.

Di Malaysia, ramai tokoh-tokoh intelektual dan golongan kelas pertengahan yang kosmopolitan pandangan cuma menggunakan bahasa Inggeris untuk berhujah dan bahasa Melayu seolah-olah sudah menjadi bahasa yang cuma sesuai untuk mencetak Utusan Malaysia.

Dalam kata lain, bahasa Melayu menjadi lesu dalam dunia intelektual, tidak setanding dengan saudaranya bahasa Indonesia, janganlah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, Cina, Jepun dan sebagainya.

Saya amat sedih sekali apabila membaca berita bahawa ada golongan yang menggelar diri mereka sebagai penulis yang menyokong pengharaman buku dan penyekatan kebebasan.  Manakah keindahan bahasa jika kita tidak berkebebasan untuk berfikir?

Dan kalau inilah pejuangnya, perlukah lagi musuh untuk bahasa Melayu?

*Dr.Wong Chin Huat adalah seorang pencinta bahasa Melayu bukan nasionalis.  Beliau cintakan bahasa kerana keindahannya dan kesal tidak ada peluang menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan romantik.

Sumber: Merdeka Review
   

Monday, December 24, 2012

Siapa Aminuddin Baki


Aminuddin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941. Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948. Walau bagaimanapun pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja. Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.
Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen. Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan. Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955 Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman.
Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil .Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

by Kulanzsalleh
Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, anda boleh kongsikan kepada pembaca lain.

Saturday, December 17, 2011

Bahasa Melayuku

Salam semua, 
Hari ini aku terbaca satu artikel berkenaan dengan isu bahasa Inggeris. Menarik juga bila sudah dibaca. Penulis tersebut telah telah meluahkan perasaannya berkenaan tanggapan sesetengah majikan yang sering menyamakan kemahiran dan kebolehan bekerja dengan kebolehan berbahasa Inggeris. Sumbernya dari blog http://alifiqbal.blogspot.com/. Silakan membaca...

Salam..Apa khabar semua?Sihat..Alhamdulillah...Syujur kepada Allah s.w.t. kerana memberi kesempatan untuk aku terus bernafas dan mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini. Thank you Allah..

Hari ini aku memberi sedikit pendapat daripada benak fikiran aku yang terbatas dalam menjawab isu yang pernah aku post dalam entry aku yang sebelum ini. Rasanya agak lama juga untuk aku mengumpul segenap semangat dan idea untuk membangkitkan perasaan memberi komen berkenaan memperjuangkan bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
 
Jiwa aku ini meluak-luak dan meronta-ronta untuk "Menegakkan benang yang basah", lagi-lagi bila terdapat sesetengah pihak seolah-olah menolak, ketepikan (perkataan apa yang sesuai ye??) ha...bersikap liberal (betul ke pengunnaan perkataan ini??) menerima bahasa lain untuk dijadikan bahasa pengatar (Bahasa Inggeris la).

Aku bukanlah bersikap patriotik atau seolah-olah ingin menjadi seperti 'Katak di bawah tempurung', tidak boleh menerima perubahan atau tidak tahu perubahan telah berlaku tetapi aku ingin menjadi 'katak' yang berdiri di bumi yang nyata..kuang3..ok...da cukup kut pendahuluan karangan aku ni..haha
Sebenarnya isu pengunaan bahasa Inggeris ini merupakan isu yang bukan sahaja hangat diperkatakan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah tetapi juga merebak di kalangan pelajar universiti (terutamanya aku) yang mempunyai masalah penguasaan bahasa Inggeris. 


Terus-terang cakapla..aku cukup berbulu dan hangit gak la..bila bahasa Inggeris begitu mendapat tempat di kalangan pendidik mahu pun majikan yang begitu memandang tinggi terhadap bahasa ini. Mereka sudah lupa ke bahasa Melayu ini pernah menjadi bahasa pengantar utama dunia?? Siapa yang tak biasa dengar dengan penggunaan 'Lingua Franca' dikalangan pedagang yang datang ke tanah melayu suatu masa dulu.

Persoalan dekat sini:
Adakah seseorang itu akan nampak lebih pandai sekiranya pandai berbahasa Inggeris berbanding orang yang hanya bersikap kemelayuan yang hanya pandai berbahasa melayu?

Adakah orang yang berbahasa Inggeris ini mempunyai IQ yang tinggi berbanding IQ orang yang berbahasa Melayu?

Aku sendiri pernah terkena gak la..ada sekali, aku pernah pergi temuduga dekat satu company ini la..So,dalam temuduga, bos ini tanya kenapa awak yang sudah ada degree ini masih tidak pandai berbahasa Inggeris?? Erm..terdiam gak aku pada mulanya. Namun, aku tekad untuk argue mende ini juga.

Dalam kepala otak aku ini berfikir adakah dalam fikiran dorang ini sudah diterapkan dengan formula matematik macam ini??

Degree holder = Bahasa Inggeris

Then, aku pun tanya balik dekat bos tersebut dengan bahasa Inggeris yang berterabur..

Ini selepas dialih bahasa...huahua

"Tuan, saya nak minta pendapat tuan sedikit boleh tak?"

"Boleh. silakan..."

"Baiklah, sekiranya dalam satu sesi temuduga tersebut, terdapat dua orang calon"

"Calon pertama mahir berbahasa Inggeris, tetapi tidak mempunyai sebarang kebolehan"

"Calon kedua, tidak pandai berbahasa Inggeris, tetapi mempunyai kemahiran yang diperlukan syarikat tuan. So, yang mana satu tuan pilih?"

Terdiam terus dia..huhu..

Aku pun terus basuh la..(Sebenarnya nak merapu lagi..huhu)

"Tuan, sebenarnya saya agak tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pembelajaran negara kita. Bagi saya seolah-olah kita ini macam malu je nak jual bahasa ibunda kita ini dekat negara luar. Kita lebih mempercayai kekuatan bahasa Inggeris. Sebenarnya tuan, terdapat hampir 70 hingga 80 peratus pelajar di Malaysia mengalami masalah untuk faham lebih dalam sesuatu subjek yang menerapkan bahasa Inggeris ini."

Nota Kaki: Aku sebenarnya terbaca dalam wikipedia yang menjelaskan terperinci pasal PPSMI dan dorang siap buat perbandingan statistik lagi bagaimana peratusan penguasaan matematik dan sains pelajar sekolah menurun berbanding sebelum penubuhan PPSMI ini..Korang semua boleh rujuk dekat link ini

"Bagi saya apa yang paling utama adalah bagaimana kita hendak melahirkan graduan yang beryakinan tinggi serta mempunyai pemahaman yang mendalam dengan apa yang dia belajar. So, sekiranya kita terlalu gelojoh untuk mengubah ini dan itu sehingga mengabaikan apa yang paling penting. Sudah tentu kita tak dapat mencapai kehendak objektif"

"Paling penting self confidence dapat dibina melalui tahap kemampuan seseorang".

Setelah hampir panjang lebar merapu aku itu (tak larat lagi nak menaip.Ini sebahagian je la yang mampu). Orang yang interview itu pun diam seribu bahasa...kuang3..tak tahu la dia setuju x pendapat aku itu ke tidak..Akhirnya setelah menunggu hampir 2 bulan, aku diterima kerja di syarikat tersebut..huhu..mungkin dorang terima gak idea aku ini..hehe

Okla..da tak larat nak menaip lagi
Nanti jemu la orang yang membacanya..huhu..(entah ada orang baca ke tidak..kuang3)

Apa2 pun pada sesiapa yang ingin komen pasal isu boleh la drop komen..k..So, dapatlah kita bermuzakarrah ke..apa ke??

So, Selamat Menyambut Hujung Minggu..

Salam kawan-kawan

Sumber: http://alifiqbal.blogspot.com/

Wednesday, November 23, 2011

Malangnya Bahasa Melayu, Oh Bahasa Ku.

Pada hari yang sama dan dalam akhbar yang sama, ada dua kenyataan tentang bahasa Melayu dari dua orang tokoh, yang menyebabkan saya keliru.

Berita Harian: Rabu 14 September 2011.

Bahasa ibunda kubu budaya bangsa: Kaum Melayu perlu menyedari peranan penting bahasa Melayu - Kata Teo Kok Seong, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM

Berita Harian: Rabu 14 September 2011.

Wajib lulus BI: Dilaksana apabila guru bahasa Inggeris untuk peringkat SPM mencukupi - Kata Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri.

Apakah makna dan implikasinya kalau sudah diwajibkan ?
Mungkin sampai  saya mati nanti,  kedudukan bahasa Melayu akan kekal menjadi melukut di tepi gantang. Saya rasa sangat sakit hati bila:

1. Dalam sepanduk atau poster , Bahasa Melayu tidak diletakkan di atas sekali.

2. Dalam majlis-majlis rasmi yang dihadiri rata-ratanya oleh orang Malaysia, ucapan dibuat dalam bahasa selain dari bahasa Melayu.

Setahu saya selain Malaysia, ada dua negara iaitu India dan Filipina, yang majoriti penduduknya pandai berbahasa Inggeris tetapi taraf hidup mereka dan negara mereka tidaklah maju sangat.

Dan terlalu banyak negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris, tetapi negara mereka jauh lebih maju dari negara-negara yang saya sebutkan di atas.

Itu pandangan dan perasaan saya sahaja. 
Apa pula pandangan dan perasaan anda ?


Dan jemput lihat pula video di bawah dan apa perasaan anda  setalah melihatnya?

Ketika orang Melayu berbangga menggunakan nama barat, orang barat menyanjung nama Melayu, Ketika remaja Melayu sibuk "Bershuffle", remaja barat asyik mempelajari lenggok tarian Zapin, Ketika kita ingin menjadi "Orang Putih", "Orang Putih" ingin menjadi kita kerana mereka tahu KEHEBATAN MELAYU !!
Sumber: al-lavendari

Sunday, November 20, 2011

Tahniah Ong Kim Swee

"Tahniah kepada skuad Bawah 23 tahun Malaysia bimbingan Ketua Jurulatih Ong Kim Swee yang akan menentang negara jiran kita Indonesia dalam perlawanan akhir bolasepak Sukan SEA 2011. Saya tabik kepada Ong Kim Swee bukan setakat kejayaan beliau di padang bola, tapi lebih menarik lagi apabila ditemuramah, beliau menggunakan Bahasa Melayu yang cantik gaya bahasanya. Orang Melayu pun kalah.

Ada orang Melayu tu, temuramah TV Malaysia pun nak cakap Bahasa Inggeris. Ada pula cakap Bahasa Inggeris entah ke mana “grammar” nya. Ada tu pula, cakap Bahasa Melayu jadi Bahasa Rojak, Bahasa Pasar. 

Mungkin terlalu awal untuk menganugerahkan Ong Kim Swee sebagai Tokoh Maal Hijrah.
 
Tak apalah, kita boleh kategorikan Ong Kim Swee sebagai Pejuang Bahasa Melayu.
 
Ada orang tu pejuang bangsa dengan menghunus keris, tapi bila ditemuramah, ada saja nak selit cakap Bahasa Inggeris.

Wednesday, November 9, 2011

BANGSAT SANGATKAH BAHASA MELAYU INI ?

Banyak usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam seperti di bawah.

  
Wajib Bahasa Melayu -
Kerajaan keluar pekeliling urusan rasmi penjawat awam mesti guna bahasa kebangsaan.
 Berita Harian, 14 Oktober, 2011.

BOLEH PERCAYA KE ?
 .............................................................................................

Saya dah mula tak percaya .. keratan-keratan akhbar seperti berikut sebagai puncanya.

Pelaburan RM5b di Terengganu. Projek Kuala Terengganu City Centre bakal sedia 82,000 peluang kerja - Berita Harian 21, Oktober 2011.

Tak ada nama lain ke dalam Bahasa Melayu yang boleh digunakan selain Kuala Terengganu City Centre. Misalnya "Serambi Kuala Terengganu" atau "Anjung Kuala Terengganu" dan sebagainya. Kalau dah Negeri Terengganu pun menggunakan Bahasa Inggeris, adakah boleh diharapkan Pulau Pinang atau Kuala Lumpur akan menggunakan Bahasa Melayu dalam menamakan projek seumpamanya.

Terbaru lihat dua keratan akhbar Berita Harian bertarikh 27 Oktober seperti di bawah, yang menambah rasa mual saya.


Nampaknya cabaran kepada Bahasa Melayu bertambah Greater ..!


Sumber: al-lavendari.