Showing posts with label Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman. Show all posts

Saturday, April 13, 2013

Masih dijajah oleh Barat...Aduhai...Negaraku Malaysia

Dunia pendidikan di peringkat IPT di Malaysia sudah terperangkap dengan permainan “politik perniagaan” yang didominasi oleh Barat.

Sebagai sebuah negara yang pernah kena jajah beberapa kali (oleh Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, dan Inggeris semula), psikologi orang Melayu khususnya sentiasa merasakan apa yang datang dari Barat adalah BAIK dan BETUL dari apa yang ada di negara sendiri walaupun negara sudah merdeka dari penjajah hampir 60 tahun.

Para ilmuan Malaysia juga masih belum dapat lari dari sindrom “colonized mind and attitude”.  Menteri Pengajian Tinggi yang cuba membawa gelombang KPI bertanggungjawab membawa balik rakyat Malaysia khususnya para pensyarah di universiti MENYEMBAH DUNIA BARAT dengan mengikut apa sahaja yang dikemukakan oleh BARAT.

Beberapa pihak di Barat memulakan dengan permainan SENARAI 100 Universiti terbaik dunia, SENARAI 100 universiti Asia terbaik dengan mengemukakan beberapa kriteria.

Kemudian kriteria ini berubah-ubah dari masa ke semasa dan kemudian kriteria baru diwujudkan dengan permainan SCOPUS dan ISI di mana setiap penerbitan jurnal di dalam SCOPUS dan ISI dibayar dengan harga tinggi. Yang menerbit juga diberikan ganjaran wang antara RM1000 hingga RM10,000 bagi setiap artikel. Maka penerbit jurnal kaya mengutip yuran dari penulis untuk menerbit artikel; penulis juga kaya mengaut wang dari majikan universiti kerana bejaya menerbit artikel dalam senarai jurnal SCOPUS dan ISI.

Apa yang lebih parah ialah apabila artikel ditulis oleh sebilangan pensyarah sehingga ada artikel yang ditulis oleh 2 pensyarah, 5 pensyarah, 10 pensyarah, hatta ada juga satu artikel yang ditulis oleh 30 orang! Inilah Malaysia BOLEH! Profesor Ulung Negara, iaitu Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, menggelar fenomena kegilaan menulis beramai-ramai dalam satu artikel ini sebagai “SARJANA GOTONG ROYONG.” Inilah agaknya yang mahu diwujudkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang membawa imej korporat dalam mengurus universiti.

Bukan “sarjana gotong royong sahaja” yang menjadi keghairahan para pensyarah dewasa ini, malah ramai pensyarah menenggek dalam artikel pensyarah lain untuk diterbitkan dalam senarai penerbitan SCOPUS dan ISI. Fenomena ini boleh digelar sebagai  ”PENERBITAN TIMBANG KATI”  di mana pensyarah menerbit apa sahaja dalam jurnal asalkan diterbitkan dalam  jurnal SCOPUS dan ISI dan  walaupun artikel dan jurnal itu tidak melambangkan bidang disiplin atau kepakaran pensyarah bekenaan.

Yang lebih jenaka pula ialah apabila pensyarah dan mereka yang berjawatan dalam pentadbiran yang menjadi penyunting dan pewasit jurnal SCOPUS dan ISI menawarkan diri kononnya mahu membantu pensyarah muda menulis dan menerbit artikel dalam jurnal SCOPUS dan ISI dengan syarat nama pensyarah itu dimasukkan dalam artikel berkenaan tanpa mengira bidang.

Maka pensyarah senior berkenaan dan mereka yang berjawatan dalam pentadbiran memiliki puluhan malah ratusan  artikel dalam SCOPUS dan ISI walaupun nama pensyarah berkenaan berada dalam artikel yang bukan bidang disiplinnya . Dengan terbitnya artikel mereka dalam jurnal SCOPUS dan ISI, maka mereka menuntut ganjaran wang dari universiti atas alasan berjaya menaikkan KPI universiti dan menaikkan ranking universiti di mata dunia. Ada artikel bernilai RM1000, RM2000, dan paling tinggi RM10,000 untuk dituntut oleh pensyarah berkenaan.

Benarlah kata pepatah Melayu, menang sorak kampung tergadai. Jurnal tempatan tidak mendapat perhatian lagi dari pensyarah tempatan kerana permaian “politik perniagaan” Barat dan kerana kekalutan Menteri Pengajian Tinggi yang mengikut tarian Barat. Jurnal bahasa Melayu MALAP. Jurnal tempatan MATI.

Lebih teruk lagi apabila buku-buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak lagi diberi perhatian, dan akibatnya, bilangan buku tulisan akademik amat berkurangan kerana BUKU tidak dinilai dalam KENAIKAN PANGKAT di universiti. Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor tidak mahu melihat buku sebagai sumber ilmu yang diedar dan dibaca oleh anggota masyarakat umum berbanding dengan jurnal yang hanya berada di rak buku dan dalam Internet untuk kegunaan ilmiah semata-mata.

Pentadbir universiti bagaikan lembu dicucuk hidung oleh hegomoni barat dalam permainan “politik perniagaan” oleh Barat dalam hal ini.

Di mana perginya jatidiri ilmuan Malaysia jika buku yang menjadi sumber  ilmu tidak diiktiraf sebagai sumbangan ilmu dalam negara ini ketika menilai ilmuan dalam proses kenaikan pangkat?
Di mana pergi jatidiri jurnal dari Malaysia apabila pensyarah tidak mahu menulis dalam jurnal tempatan kerana segelintir  kecil sahaja jurnal tempatan  yang diterima sebagai jurnal SCOPUS dan ISI oleh Barat? Betul, IPTA sudah hilang arah haluan!

Di manakah keikhlasan pensyarah menulis artikel  kerana ilmu dan bukan kerana mengejar status dan bukan kerana mengejar ganjaran yang lumayan sehingga menggadaikan jurnal tempatan serta buku tempatan dalam bahasa Melayu? Benarlah IPTA sudah hilang arah haluan!

Apakah bahasa Melayu ini hina sangat di sisi dunia sehingga tidak boleh menjadi bahasa ilmu? Memang IPTA sudah hilang arah haluan!

Inilah bukti kesan MENTAL DAN SIKAP ORANG YANG PERNAH DIJAJAH. Mereka melihat apa yang dibuat dan dicadangkan oleh Barat itu semua bagus dan betul  sehingga mereka sanggup menyempitkan pembinaan khazanah ilmu dalam acuan kita sendiri.

Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini kalau tidak Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor IPTA yang kini bukan berkhidmat untuk kesarjanaan tetapi untuk menjaga periuk nasi masing-masing! Inilah yang dikatakan IPTA sudah hilang arah haluan! Akhirnya PENJAJAH tetap ULUNG, ilmuan MALAYSIA kena GULUNG!

Sumber: http://kehidupan-phd.blogspot.com

Wednesday, January 19, 2011

PensyarahTanpa Ph.D.......

Salam,

Tulisan berkenaan dengan pensyarah dan kerjaya ini datangnya dari Dr Fauziah Mohd Noor dari UIAM. Harap dapat dijadikan panduan dan pengajaran.
..........................................................................

Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim (pengasas Universiti Islam Antarabangsa (UIA))berkata:

"jika seorang pensyarah itu tidak mempunyai Doktor Falsafah (Ph.D), bukan bermakna seseorang itu tidak boleh mengajar dengan baik."

Adakalanya seorang pensyarah tanpa Ph.D mempunyai mutu pengajaran yg lebih baik di dalam pengajaran berbanding dengan pensyarah yang mempunyai Ph.D.

Saya sesekali tidak pernah dan tidak akan menyanggah kata-kata tersebut. Bahkan saya bersetuju seratus peratus dan kalau saya diberi pilihan pada tahun 1997.

Persoalannya mahu buat Ph.D atau tidak? Mungkin memilih tidak, kerana terlalu banyak yang perlu dikorbankan.

Sebagai contoh, suami terpaksa bercuti tanpa gaji selama 3 tahun dan anak sulung pula ketinggalan dalam pelajaran selama 3 tahun. (kerana polisi waktu itu mewajibkan Ph.D dari universiti di luar negara)

Tetapi untuk mereka yang memilih untuk menjadi pensyarah universiti terutamanya di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), perkara ini menjadi satu kewajiban.

Tanpa Ph.D, mereka boleh diminta supaya berhenti atau memilih kerjaya lain. Oleh kerana itu setiap pensyarah universiti perlu menyambung pelajaran ke tahap Ph.D, walaupun ada di antara mereka yang berat hati untuk berbuat demikian.

Namun tidak dinafikan terdapat juga pensyarah yang memang bercita-cita menyambung pelajaran ke tahap doktor falsafah kerana mereka memang mempunyai minat untuk menyambung pelajaran dan cinta kepada pelajaran.

Bagaimanapun, jika hanya ingin mengejar sekeping kertas kerana inginkan gelaran 'doktor' pada pangkal nama hingga ada yang menipu dengan membeli gelaran tersebut, atau mengupah orang lain untuk membuat kajian dan menulis tesis, perjuangan itu tidak mempunyai makna.

Jika seseorang itu ingin menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, biarlah niatnya ikhlas kerana mencari ilmu dan bukan kerana gelaran yang bakal diterima serta mengharapkan orang lain lebih hormat pada mereka.

Ada pihak yang berfikir dengan mempunyai gelaran doktor boleh memberikan kemewahan kepada mereka, saya rasa mereka telah tersimpang jauh dari matlamat sebenar.

Melalui pengalaman, saya pernah dijemput sebanyak tiga kali menjadi ahli panel di dalam perbincangan di dua buah stesyen televisyen (isu Aids, poligami dan mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tetapi tidak pernah diberi sebarang hononarium kecuali secawan teh dan sekeping kuih.

Kenalan saya pernah berkata, "Rugilah macam tu, Fauziah. Habis tenaga, habis duit minyak dan habis masa."

Tetapi bagi saya itu adalah peluang saya berbakti kepada masyarakat.

Kalau bercakap tentang gaji, hakikatnya gaji mereka yang mempunyai Ph.D tidak setinggi mana dan atas dasar itu apabila penuntut-penuntut di universiti saya bertanya tentang gaji pensyarah yang memegang Ph.D, saya memberitahu mereka;

"kalau kamu nak buat duit dengan jadi pensyarah, lupakanlah. kalau kamu nak jadi kaya, pilihlah profesion lain yang lebih menjanjikan pulangan yang lumayan. Pensyarah hanya sesuai utk mereka yang cintakan ilmu dan suka belajar dan mengajar. Biarlah apa yang kita buat kerana Allah Ta'ala"

Semakin banyak yang kita pelajari akan semakin tahu berapa jahilnya kita dan berapa kerdilnya kita kerana banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu.

Ph.D bukan untuk bermegah-megah dan bukan untuk mencari nama. Semoga Allah memberkati kita semua dalam apa jua yang kita lakukan. Maaf jika ada tutur kata yang menyinggung perasaan.

Dr Fauziah Mohd Noor

Monday, October 4, 2010

Kenangan di UTHM-Parit Raja Batu Pahat Johor

Kebanyakan gambar adalah suasana di perkarangan UTHM dan rumah sewa yang disewa bersama Irwan, Shamri dan Klairul