Dunia pendidikan di peringkat IPT di Malaysia sudah terperangkap dengan permainan “politik perniagaan” yang didominasi oleh Barat.
Sebagai sebuah negara yang pernah kena jajah beberapa kali (oleh Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, dan Inggeris semula), psikologi orang Melayu khususnya sentiasa merasakan apa yang datang dari Barat adalah BAIK dan BETUL dari apa yang ada di negara sendiri walaupun negara sudah merdeka dari penjajah hampir 60 tahun.
Para ilmuan Malaysia juga masih belum dapat lari dari sindrom “colonized mind and attitude”. Menteri Pengajian Tinggi yang cuba membawa gelombang KPI bertanggungjawab membawa balik rakyat Malaysia khususnya para pensyarah di universiti MENYEMBAH DUNIA BARAT dengan mengikut apa sahaja yang dikemukakan oleh BARAT.
Beberapa pihak di Barat memulakan dengan permainan SENARAI 100 Universiti terbaik dunia, SENARAI 100 universiti Asia terbaik dengan mengemukakan beberapa kriteria.
Kemudian kriteria ini berubah-ubah dari masa ke semasa dan kemudian kriteria baru diwujudkan dengan permainan SCOPUS dan ISI di mana setiap penerbitan jurnal di dalam SCOPUS dan ISI dibayar dengan harga tinggi. Yang menerbit juga diberikan ganjaran wang antara RM1000 hingga RM10,000 bagi setiap artikel. Maka penerbit jurnal kaya mengutip yuran dari penulis untuk menerbit artikel; penulis juga kaya mengaut wang dari majikan universiti kerana bejaya menerbit artikel dalam senarai jurnal SCOPUS dan ISI.
Apa yang lebih parah ialah apabila artikel ditulis oleh sebilangan pensyarah sehingga ada artikel yang ditulis oleh 2 pensyarah, 5 pensyarah, 10 pensyarah, hatta ada juga satu artikel yang ditulis oleh 30 orang! Inilah Malaysia BOLEH! Profesor Ulung Negara, iaitu Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, menggelar fenomena kegilaan menulis beramai-ramai dalam satu artikel ini sebagai “SARJANA GOTONG ROYONG.” Inilah agaknya yang mahu diwujudkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang membawa imej korporat dalam mengurus universiti.
Bukan “sarjana gotong royong sahaja” yang menjadi keghairahan para pensyarah dewasa ini, malah ramai pensyarah menenggek dalam artikel pensyarah lain untuk diterbitkan dalam senarai penerbitan SCOPUS dan ISI. Fenomena ini boleh digelar sebagai ”PENERBITAN TIMBANG KATI” di mana pensyarah menerbit apa sahaja dalam jurnal asalkan diterbitkan dalam jurnal SCOPUS dan ISI dan walaupun artikel dan jurnal itu tidak melambangkan bidang disiplin atau kepakaran pensyarah bekenaan.
Yang lebih jenaka pula ialah apabila pensyarah dan mereka yang berjawatan dalam pentadbiran yang menjadi penyunting dan pewasit jurnal SCOPUS dan ISI menawarkan diri kononnya mahu membantu pensyarah muda menulis dan menerbit artikel dalam jurnal SCOPUS dan ISI dengan syarat nama pensyarah itu dimasukkan dalam artikel berkenaan tanpa mengira bidang.
Maka pensyarah senior berkenaan dan mereka yang berjawatan dalam pentadbiran memiliki puluhan malah ratusan artikel dalam SCOPUS dan ISI walaupun nama pensyarah berkenaan berada dalam artikel yang bukan bidang disiplinnya . Dengan terbitnya artikel mereka dalam jurnal SCOPUS dan ISI, maka mereka menuntut ganjaran wang dari universiti atas alasan berjaya menaikkan KPI universiti dan menaikkan ranking universiti di mata dunia. Ada artikel bernilai RM1000, RM2000, dan paling tinggi RM10,000 untuk dituntut oleh pensyarah berkenaan.
Benarlah kata pepatah Melayu, menang sorak kampung tergadai. Jurnal tempatan tidak mendapat perhatian lagi dari pensyarah tempatan kerana permaian “politik perniagaan” Barat dan kerana kekalutan Menteri Pengajian Tinggi yang mengikut tarian Barat. Jurnal bahasa Melayu MALAP. Jurnal tempatan MATI.
Lebih teruk lagi apabila buku-buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak lagi diberi perhatian, dan akibatnya, bilangan buku tulisan akademik amat berkurangan kerana BUKU tidak dinilai dalam KENAIKAN PANGKAT di universiti. Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor tidak mahu melihat buku sebagai sumber ilmu yang diedar dan dibaca oleh anggota masyarakat umum berbanding dengan jurnal yang hanya berada di rak buku dan dalam Internet untuk kegunaan ilmiah semata-mata.
Pentadbir universiti bagaikan lembu dicucuk hidung oleh hegomoni barat dalam permainan “politik perniagaan” oleh Barat dalam hal ini.
Di mana perginya jatidiri ilmuan Malaysia jika buku yang menjadi sumber ilmu tidak diiktiraf sebagai sumbangan ilmu dalam negara ini ketika menilai ilmuan dalam proses kenaikan pangkat?
Di mana pergi jatidiri jurnal dari Malaysia apabila pensyarah tidak mahu menulis dalam jurnal tempatan kerana segelintir kecil sahaja jurnal tempatan yang diterima sebagai jurnal SCOPUS dan ISI oleh Barat? Betul, IPTA sudah hilang arah haluan!
Di manakah keikhlasan pensyarah menulis artikel kerana ilmu dan bukan kerana mengejar status dan bukan kerana mengejar ganjaran yang lumayan sehingga menggadaikan jurnal tempatan serta buku tempatan dalam bahasa Melayu? Benarlah IPTA sudah hilang arah haluan!
Apakah bahasa Melayu ini hina sangat di sisi dunia sehingga tidak boleh menjadi bahasa ilmu? Memang IPTA sudah hilang arah haluan!
Inilah bukti kesan MENTAL DAN SIKAP ORANG YANG PERNAH DIJAJAH. Mereka melihat apa yang dibuat dan dicadangkan oleh Barat itu semua bagus dan betul sehingga mereka sanggup menyempitkan pembinaan khazanah ilmu dalam acuan kita sendiri.
Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini kalau tidak Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor IPTA yang kini bukan berkhidmat untuk kesarjanaan tetapi untuk menjaga periuk nasi masing-masing! Inilah yang dikatakan IPTA sudah hilang arah haluan! Akhirnya PENJAJAH tetap ULUNG, ilmuan MALAYSIA kena GULUNG!
Sumber: http://kehidupan-phd.blogspot.com
No comments:
Post a Comment