Wednesday, March 20, 2013

Bila ceramah motivasi merepek

ULASAN Apabila jenama ‘Islam' itu laris, ramai orang menggunakannya. Sama ada mereka itu ikhlas kerana Allah, ataupun kerana ‘market demand' hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Bermula dari pelbagai produk makanan dan barangan cuba dikaitkan dengan agama sehingga kepada pelbagai jenis motivasi. Akhirnya, agama kelihatan murah dan selekeh.

Ubat-ubatan yang entah apa-apa kualitinya dikaitkan kononnya makanan Nabi SAW Sama seperti sesetengah para penjual tamar di Mekah dan Madinah yang apabila melihat orang asing akan berteriak memanggil pembeli dengan menyebut: "Tamar Nabi! Tamar Nabi! Tamar Nabi!"

Saya sering menjawab mereka dengan berkata: "Tamar Nabi SAW baginda sudah pun makan dan habis pada zaman tersebut. Ini tamar awak punya, bukan Nabi SAW punya."

Malangnya, orang yang tidak tahu akan tertipu lalu membeli tamar dengan harga berlipat kali ganda hanya disebabkan laungan ‘tamar Nabi SAW'. Agama sering menjadi alat penipuan dan kepentingan golongan yang pandai mengekplotasikannya.

Tuntutan pasaran
Saya tidak menyatakan semua, tapi sesetengah penceramah motivasi yang tidak mendalami agama juga demikian. Oleh kerana ceramah merupakan pendapat utama ataupun besar bagi sesetengah pihak, maka mereka mencari jalan untuk memenuhi ‘market demand' (tuntuan pasaran).

Apabila mereka melihat unsur agama mendapat sambutan, maka mereka pun memasukkan unsur agama dalam ceramah-ceramah mereka. Malangnya, mereka mula ‘merepek' ataupun mengada-adakan atas nama agama apa yang tiada asas dari al-Quran dan al-Sunnah.

Contohnya, ada yang menyatakan kita sebelum tidur hendaklah memohon maaf kepada semua kenalan. Jika Islam mewajibkan hal yang seperti ini, tentulah sukar bagi para sahabat yang pada zaman mereka tiada SMS, telefon, WhatsApp ataupun apa sahaja teknologi seperti hari ini.

Islam menyuruh kita memohon maaf apabila kita melakukan kesalahan, bukan setiap kali hendak tidur. Pandangan motivasi seperti itu sekadar menggayakan syarikat-syarikat telekomunikasi sahaja.

Ada pula yang menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan makan dan minum yang diberikan. Ini adalah kedangkalan faham terhadap hukum syarak. Suami diwajibkan syarak memberikan isteri dan anak-anak makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Jika suami gagal memenuhi hal ini tanpa sebab yang sah maka dia berdosa di sisi Allah.

Jika gagal, suami yang sepatutnya meminta maaf kepada isteri dan anak-anak. Lihat arahan Allah kepada suami yang menceraikan isteri yang bermaksud:

"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddah) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu), dan jika mereka sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upah; dan berundinglah antara kamu (dalam hal penyusuan) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu (suami) memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadaNya. (Ingatlah) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."(Surah al-Talaq ayat 6-7)

Hatta dalam iddah dan selepas bercerai pun masih ada tanggungjawab suami. Inikan pula semasa perkahwinan masih berjalan. Firman Allah lagi yang bermaksud:

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah ayat 233).

Walaupun majoriti ulama berpendapat ibu hanya disunatkan ataupun digalakkan menyusukan anaknya, namun mereka tetap berpendapat jika tiada siapa selain ibu yang dapat menyusukan anaknya, maka menjadi wajib ke atas ibu untuk menyusu. (Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, 2/360. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu'asir 1991)

Pandangan timbulkan salah faham
Justeru, anak memang wajib berbuat baik dan menghormati ibu, tetapi dalam Islam tiada ungkapan kena meminta halal susu ibu yang telah kita minum. Sebaliknya, jika seseorang ibu meninggalkan anak tanpa susuan dan tiada gentian yang selayaknya, maka ibu itu berdosa.

Demikian isteri tidak perlu meminta halal dari suami kerana itu adalah tanggungjawab yang Allah fardukan ke atas suami. Hanya isteri memohon maaf jika dia gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Nabi SAW mengingatkan suami dan bapa dengan sabda baginda:

"Seseorang cukup berdosa dengan dia cuai terhadap sesiapa yang menjadi tanggungjawabnya untuk memberi makan". (Riwayat Abu Daud, bertaraf hasan)

Pendapat-pendapat seperti itu meletakkan isteri dalam keadaan bersalah kerana memakan nafkah yang suami berikan sehingga kena meminta halal. Malangnya, kurang ditekankan tanggungjawab suami terhadap keluarga. Ini memberikan persepsi yang salah tentang Islam. Juga menjadikan suami sering rasa tidak bersalah atau kurang bersalah atas kecuaiannya.

Ini diwarisi sehingga dalam politik di mana rakyat sentiasa dianggap bersalah sehingga terpaksa akur apa sahaja yang dilakukan oleh penguasa disebabkan pemberian ataupun kemudahan infrastruktur yang diberikan ataupun disediakan oleh kerajaan. Tanpa mengingatkan itu adalah tanggungjawab penguasa yang jika mereka cuai mereka berdosa.

Nafkah haram?

Ada pula penceramah motivasi yang menyatakan anak-anak yang tidak cemerlang belajar disebabkan sumber wang pendapat bapa itu tidak halal. Isteri dianggap turut berdosa atas pendapatan haram suami. Kita bertanya, apa yang hendak mereka jawab mengenai anak-anak non-muslim yang cemerlang sedang ibu bapa mungkin terlibat dengan riba dan seumpamanya.

Dalam Islam, isteri-anak tidak bersalah atas kerja buat suami. Nafkah yang diberikan suami kepada isteri dan anak adalah halal diterima kerana itu tanggungjawab suami. Dosa hanya ditanggung oleh pihak suami sahaja jika wang itu diterimanya secara haram. Adapun isteri dan anak, mereka menerimanya secara halal kerana ia nafkah yang wajib.

Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas'ud: "Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan".

Jawab ‘Abdullah bin Mas'ud: "Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya." (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675)

Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?.

Jawab Ibn ‘Umar: Ya" (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138)

Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya.

Beliau menjawab: "Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari Yahudi, memakan makanan Yahudi, membeli dari Yahudi sedangkan Yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa."

Ahli motivasi juga jangan lupa, wang yang diperoleh melalui motivasi yang tidak benar dan menggunakan nama Allah dan rasul-Nya secara salah juga termasuk dalam senarai yang haram.

Bacaan datangkan khasiat
Ada pula pakar motivasi mengeluarkan petua kononnya bacaan itu dan ini mendatang pelbagai khasiat. Ada yang kata baca fatihah untuk ibubapa setiap pagi mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut kelebihan itu. Pemberi rezeki hanyalah Allah. Bilakah Allah menurunkan wahyu kepada mereka ini memberitahu jika manusia baca ayat-ayat ini Dia akan turunkan rezeki?

Inilah yang al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ulas mengenai tipu daya iblis terhadap golongan wu'adz dan tukang cerita ini:

"...maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bidaah dalam bidang ini... di kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat). Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan."

Mereka lupa sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka" (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Bukan tujuan tulisan ini menghalang ahli-ahli motivasi bercakap agama, tetapi pastikan apa yang disebut itu berasas dan benar dari segi faktanya.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.

Arkkkkkk!!!!!!

Lawak jenis apa ni...???

Pesanan


Monday, March 18, 2013

Jangan Keliru

 
Dapat Info dari Sahabat Untuk Ingatkan sesama Muslim

JANGAN ABAIKAN, TOLONG DI BACA:

WASPADALAH … !!!

Ada Buku Panduan Shalat, tapi Kristen … !?

Di dalam Al-Qur’an sering ditemukan kata "Aqimus Sholah" (tegakkan Shalat), sebagai bagian dari perintah Allah SWT kepada kaum Muslim untuk beribadah.

Tapi jangan keliru, belakangan ini, kalangan Kristen Otodox Syiria (KOS) juga menggunakan bahasa serupa yang juga mirip dengan bahasa Al-Qur'an ini.

Baru-baru ini, kalangan Kristen Ortodox Syiria menerbitkan buku berjudul "Shalat Rabbaniyah" yang ditulis oleh Ignatius Bambang Soetawan.

Isi buku setebal 120 halaman tersebut adalah tafsir ringkas (refleksi) tentang "Doa Bapa Kami" yang dikutip dari Injil Matius 6: 9-13.

Bambang adalah alumnus Sekolah Tinggi Filsafat Teoogi Prajnawidya Yogyakarta, 1971.

Selain buku mirip bahasa khas Islam tersebut, Yayasan Misi Orthodoxia yang diketuai oleh Pendeta Yusuf Roni juga menerbitkan buku panduan shalat kristen yang berjudul "Kitabus Sab'us-Shalawat" (shalat 7 waktu).

Jika tidak paham, peristiwa ini dapat mengecoh umat Islam.

Apalagi selain menggunakan bahasa yang mirip Al-Qur'an, kalangan Kristen Ortodok

Syiria juga menggunakan simbol-simbol mirip Islam. Seperti jilbab dll.

Semoga ini bisa menjadi informasi untuk semua kaum Muslim …

WASPADALAH...! PLEASE di-TAG, SHARE / BAGIKAN, PENTING...!

Monday, February 25, 2013

Tidak Ditanggung Halal: Apa punya ayat dah...

Berhati2 dgn minuman sebegini... Diletakkan di rak minuman biasa.. Produk ini adalah dlm kategori young beer. Tanpa alkohol tp dikilangkan oleh Carlsberg....

Thursday, February 14, 2013

Perjuangan untuk bahasa Melayu: Nasionalisme bahasa atau Nasionalisme etnik? Oleh: Wong Chin Huat


Sesetengah pihak yang menggelar diri mereka sebagai pejuang bahasa Melayu kebelakangan ini menggesa agar kebebasan berbahasa rakyat Malaysia disekat agar bahasa Malayu dapat diagungkan.
Mentaliti mereka ini berparadigmakan dasar perlindungan (protectionism) bahasa.  Ini bukan sesuatu yang baru.  Di dunia Barat, Perancis adalah salah sebuah negara yang asyik sangat untuk melindungi bahasanya daripada ancaman bahasa Inggeris.

Seperti dalam dunia ekonomi, apabila sesuatu itu perlu dilindungi, ia pastinya sesuatu yang lemah.

Bahasa Perancis tidak perlu perlindungan 200 tahun yang dahulu apabila ia adalah bahasa teragung di Eropah.  Kuasa-kuasa pesaing Perancis seperti Jerman, Australia dan Rusia menggunakan bahasa Perancis di istana mereka.

Bahasa Inggeris hari ini juga tidak menerima perlindungan daripada United Kingdom, Amerika Syarikat ataupun mana-mana negara Komanwel.  Sebagai bahasa yang paling berleluasa dituturi di dunia, Bahasa Inggeris hari ini lebih dipertuturkan sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda.

Kerana ini, bahasa Inggeris menyerap kosa-kata dan pengaruh daripada bahasa lain dengan kadar yang tinggi, sehingga bahasa Inggeris yang ditutur di pelbagai perusuk dunia itu semakin berbeza daripada bahasa klasik yang digunakan oleh Shakespeare, Yeats atau Charles Dickens.

Kalau dulu ada orang yang percaya bahawa seseorang yang bukan Inggeris boleh diinggeriskan dengan pendidikan bahasa Inggeris, kepercayaan ini langsung tidak berasas dalam era globalisasi ini.  Kebanyakan penutur bahasa Inggeris hari ini tidak berhajat untuk menjadi orang Inggeris.  Bahasa Inggeris menentukan daya saing mereka, bukan jati diri.

Perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Cina.  Penutur bahasa Cina sebagai bahasa asing semakin meningkat lantaran kebangkitan ekonomi negara China, sungguhpun ia mungkin mengambil masa sekurun sebelum ia mencapai kedudukan seperti bahasa Inggeris, di mana lebih penuturnya menuturinya sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda.

Di Malaysia sekalipun, semakin ramai budak bukan keturunan Cina yang bersekolah Cina, mencapai kira-kira 11% dalam murid sekolah rendah jenis kebangsaan bahasa Cina, mengikut data terkini, berbanding dengan cuma 7% murid sekolah rendah kebangsaan yang berketurunan bukan Bumiputera.

Persoalan yang para pejuang bahasa Melayu perlu membuat suatu ketetapan ialah sama ada bahasa Melayu harus diperjuangkan supaya ia berkembang seperti mana bahasa Inggeris dan bahasa Cina melampaui batasan keturunan malahan tamadun?  Ataupun, bahasa Melayu harus dipertahankan seperti bahasa Perancis yang semakin merosot keagungannya?

Ini suatu pilihan yang cukup besar yang tidak boleh dielakkan lagi oleh semua penutur dan pencinta bahasa Melayu.  Sudah tiba masanya untuk kita semua berterus-terang dan tidak bermain kata.

Apakah bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai intrinsiknya, yakni sebagai bahasa?  Ataupun bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai ekstrinsiknya, yakni sebagai alat untuk memajukan kaum Melayu?

Perjuangan pertama ialah nasionalisme bahasa, sementara perjuangan kedua ialah nasionalisme ethnic (kaum).  Bertentangan dengan keinginan subjektif ramai orang, kedua-dua perjuangan ini tidak sentiasa berkawan, sebaliknya mungkin berlawan.

Kalau tujuannya untuk mengagungkan sesuatu bahasa itu, maka insentif maksima harus diberikan kepada semua rakyat untuk bukan sahaja bertutur dalam bahasa itu, tetapi juga menambahkayakan ilmu pengetahuan dalam dan melalui bahasa itu.

Jika dasar ini cukup berjaya, kaum bukan penutur asal mungkin lebih fasih menutur bahasa itu daripada kaum penutur asal sehingga menerima paling banyak insentif dasar bahasa.

Ini sebenarnya berlaku di Malaysia di bawah Dasar Ekonomi Baru, yakni selepas dominasi kaum Melayu ditetapkan selepas rusuhan 13 Mei dan sebelum tamatnya Era Perang Dingin yang membawa liberalisasi ke seluruh dunia.

Dalam masa dua dekad itu, ramai anak-anak bukan Melayu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu demi berjaya dalam sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan bahasa Melayu.

Sekiranya kefasihan bahasa akan memberikan mereka peluang kerjaya yang lebih baik, seperti mana kefasihan dalam bahasa Inggeris, sudah pasti sekolah kebangsaan akan menjadi semakin popular dan sekolah-sekolah bahasa ibunda akan merosot.

Akan tetapi, kerana orang bukan Melayu tetap diberi layanan kelas kedua sebagai Bukan Bumiputera sekalipun jika mereka lebih fasih berbahasa Melayu daripada orang Melayu, insentif untuk orang bukan Melayu menguasai dan menggunakan bahasa Melayu adalah minima.  Inilah percanggahan keutamaan di antara nasionalisme bahasa dan nasionalisme kaum.

Ini menjelaskan mengapa peratusan anak Cina yang pergi ke sekolah rendah Cina memecut dari lebih kurang 70% pada awal perlaksanaan DEB ke hampir 90% pada dekad 1990-an.

Hakikat ini mungkin mengecewakan sesetengah orang Melayu: mengapa orang Cina di Indonesia dan Negara Thai sanggup diasimilasikan sepenuhnya tetapi orang Cina di Malaysia degil mempertahankan jati diri mereka?

Jawapannya ringkas sahaja.  Di Negara Thai, dasar nasionalisme budayanya bermakna sesiapa yang sanggup diasimilasikan sepenuhnya tidak akan menghadapi apa-apa diskriminasi.  Ini menjelaskan mengapa orang Cina Thai yang kebanyakannya beragama Buddha dengan mudahnya menerima asimilasi sebaliknya orang Melayu Thai yang berlainan agama dengan kaum majoriti merasai peminggiran dan ramai bangkit menentang.

Kalau orang Melayu sanggup mengikut contoh negara Thai (dalam konteks asimilasi bahasa sahaja) dalam tahun-tahun DEB (1971-1990), ramai orang bukan Melayu juga akan bersetuju menerima asimilasi sebagai syarat untuk kesamarataan sepenuh.  Pokoknya, apakah orang Melayu sanggup menerima syarat sebegitu?  Hari ini, dengan globalisasi, asimilasi sepenuhnya sudah lenyap sebagai sebuah opsyen dasar.

Mungkin ada yang tertanya: bagaimana pula di Indonesia?  Orang Cina Indonesia menerima asimilasi sungguhpun mereka tetap didiskriminasi pada zaman Order Baru?

Jawapannya juga ringkas.  Orang Cina cuma merangkumi kira-kira 3% daripada penduduk Indonesia, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menentang polisi kerajaan, ini terutamanya selepas pembunuhan besar-besaran orang komunis dan kaum Cina pada tahun 1965.

Dalam erti kata lain, apabila kaum majoriti mempunyai kuasa mutlak, ia menjadi rasional untuk kaum minoriti menerima asimilasi dan diskriminasi pada masa yang sama, kerana alternatifnya - penentangan - kebarangkalian besar cuma akan membawa maut.

Sekali lagi, kaedah ini cuma mungkin berjaya semasa Perang Dingin kerana keganasan politik sebagai alat pihak kerajaan untuk mencapai matlamat politiknya tidak akan ditoleransi oleh dunia hari ini.

Dengan ketibaan Era Globalisasi, paksaan termasuk asimilasi sudah pasti menerima kegagalan.  Sekalipun bahasa Melayu dipaksakan ke atas semua rakyat, bahasa Melayu tidak akan maju di dalam negeri selagi kita tidak menutup pintu daripada dunia dan menjadi Korea Utara kedua.

Ini adalah sebab pejuang-pejuang bahasa harus memikir semula apakah sebenar perjuangan yang diingini?

Kalau untuk berjuang demi kaum penutur asal, yakni orang Melayu, pengagungan bahasa melalui paksaan - dan bukan peningkatan keupayaan bahasa itu - mungkin lebih memudaratkan daripada menguntungkan bukan sahaja seluruh rakyat, tetapi juga orang Melayu sendiri.

Sudah nyata, sikap authoritarian dalam bahasa Melayu akan menyebabkan anak-anak Melayu kurang berminat mempelajari bahasa lain dan akhirnya mereka akan kurang berdaya saing di arena antarabangsa.  Malahan, kita mungkin kehilangan lebih bakat-bakat yang tidak percaya dengan dasar eka-bahasa, termasuk bakat orang Melayu sendiri.

Kalau kita ingin membangunkan penutur asal bahasa Melayu, yakni orang Melayu, maka kita kena cari cara yang lebih berkesan.

Kalau perjuangan adalah benar-benar untuk memajukan bahasa tinggalan nenek-moyang, maka bahasa Melayu mesti disebarkan ke khalayak orang bukan Melayu malah di luar sempadan Malaysia atau negara-negara Nusantara.

Daripada segi ini, ada baiknya bagi pejuang-pejuang bahasa mengimbas kembali sejarah kebangkitan bahasa Melayu.

Sememangnya kebangkitan awalnya mungkin terhutang budi kepada penutur asalnya di kawasan Palembang-Jambi, yang membina Empayar Sri Vijaya, akan tetapi, kejayaan seterusnya tidak dapat dijelaskan dengan kuasa politik.

Mengapa bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca di Nusantara di bawah Empayar Majapahit yang rajanya berbahasa-asalkan Jawa?  Kuasa SriVijaya pada zaman keagunganya juga tidak merangkumi Kepulauan Maluku dan Kepulauan Nusatenggara yang tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa "antarabangsa" dalam urusan dengan penduduk dari pulau lain.

Perkara ini berulang pada 1928 apabila golongan nasionalis muda memilih untuk menjunjung bahasa Melayu (namanya bahasa Indonesia) dan bukan bahasa majoriti (yakni bahasa Jawa) sebagai bahasa kebangsaan.  Mengapa pemimpin-pemimpin revolusi keturunan Jawa tidak meletakkan bahasa sendiri sebagai bahasa perpaduan?

Ini sudah tentu berkenaan dengan ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa.  Ia ringkas, mudah dipelajari tetapi juga kurang feudalistik daripada bahasa Jawa.

Dalam memperjuangkan bahasa Melayu, kita mesti mempertingkatkan kegunaan bahasa.  Dan apakah musuh paling besar kepada bahasa Melayu itu?  Bukan kebebasan bahasa lain untuk digunakan, tetapi sekatan ke atas penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.

Tanyalah kita sendiri: apakah rasionalnya kalau edisi asal bahasa Inggeris "The Origin of Species" oleh Charles Darwin itu boleh didapati di kedai buku dan perpustakaan tetapi penterjemahan buku itu dalam bahasa Indonesia itu diharamkan?  Apakah bahasa Melayu dapat berjaya jika disekat daripada membawa ilmu pengetahuan yang tidak disukai oleh sesetengah pihak?

Usaha sesetengah pihak yang cuma mengIslamkan bahasa Melayu - yakni menjadikan ia sejenis bahasa yang hanya boleh membawa pengetahuan yang sesuai dengan Islam dan oleh itu tidak boleh digunakan oleh penganut agama-agama bukan Islam untuk tujuan agama - itu sebenarnya sedang cuma melemahkan dan melesukan bahasa itu sahaja.

Kalau orang bukan Islam di Malaysia pun tidak dibenarkan menggunakan bahasa kebangsaan untuk tujuan keagamaannya, apakah peluang bahasa Melayu boleh maju di luar Malaysia, Brunei dan Singapura.  Sebenarnya, kalau kita bandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, bahasa Indonesia jauh lebih dinamika kerana pelbagai isu boleh dibincangkan dalam bahasa itu dan usaha-usaha penterjemahan itu tidak berhenti.

Di Malaysia, ramai tokoh-tokoh intelektual dan golongan kelas pertengahan yang kosmopolitan pandangan cuma menggunakan bahasa Inggeris untuk berhujah dan bahasa Melayu seolah-olah sudah menjadi bahasa yang cuma sesuai untuk mencetak Utusan Malaysia.

Dalam kata lain, bahasa Melayu menjadi lesu dalam dunia intelektual, tidak setanding dengan saudaranya bahasa Indonesia, janganlah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, Cina, Jepun dan sebagainya.

Saya amat sedih sekali apabila membaca berita bahawa ada golongan yang menggelar diri mereka sebagai penulis yang menyokong pengharaman buku dan penyekatan kebebasan.  Manakah keindahan bahasa jika kita tidak berkebebasan untuk berfikir?

Dan kalau inilah pejuangnya, perlukah lagi musuh untuk bahasa Melayu?

*Dr.Wong Chin Huat adalah seorang pencinta bahasa Melayu bukan nasionalis.  Beliau cintakan bahasa kerana keindahannya dan kesal tidak ada peluang menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan romantik.

Sumber: Merdeka Review
   

Saturday, January 26, 2013

Senapang Melayu ketika lawan Portugis

Mereka yang cinta Allah , akan cinta negara, akan cinta negeri, akan cinta bangsa, akan cinta budaya sendiri, itulah kata-kata seorang ahli sufi yang saya kenali. Generasi kini semakin melupakan sejarah bangsa, pada mereka adat hanyalah satu pertunjukan kebudayaan. Untuk menarik minat generasi muda khususnya para pelajar kepada sejarah, kita perlu beri kesedaran kepada mereka bahawa kita mempunyai teknologi yang lebih hebat dari Eropah sebelum kejatuhan Melaka.



Orang Minangkabau mendirikan kerajaan Rembau bersama orang Asli dari Suku Jakun yang begitu digeruni Portugis. Orang Minangkabau membawa bersama senapang yang dipanggil matchlock, meriam serta keris yang hebat yang diberi nama Guloh Rembau.

Tapi malang , tiada kajian, penemuan sehingga saat ini, bagaimana rupa bentuk senapang ini.

Semoga ada usaha kajian dilakukan untuk menjejaki kembali teknologi anak tempatan yang amat hebat satu ketika dulu.

Friday, January 4, 2013

Kejam: 'Kucing Bonsai'

"Terdapat seorang Jepun di New York sedang menjual suatu produk baru; yg dikenali sebagai 'Kucing Bonsai'. Apa yang orang Jepun ini buat ialah memadatkan seekor anak kucing ke dalam balang atau botol yang diperbuat daripada kaca.

Kemudian, dua batang straw akan dimasukkan ke dalam balang itu melalui dua lubang kecil yg ditebuk di atas penutup balang itu. Tujuan dua straw itu ialah satu utk memberi makanan kepada anak kucing itu, dan satu lagi utk mengeluarkan najisnya.


Untuk memastikan anak kucing itu membesar dan mengikut rupa dan saiz balang atau botol itu, dia akan memberi anak kucing itu makan sejenis dadah yang akan menjadikan tulangnya lembut, supaya badannya mudah utk mengikut bentuk dalaman balang itu. Dia hanya akan berhentikan pemberian makanan dadah ini sekiranya anak kucing itu mati.

Adakah penganiayaan dan pengzaliman seperti ini dapat dihentikan? Anak kucing itu pasti tidak boleh bergerak di dalam balang itu, apatah lagi utk membersihkan badannya, dan langsung tak boleh membuat apa-apa. Kalau dia menjerit sekalipun, siapa yang akan mendengar jeritan batinnya di dalam balang itu?

Barangan yang zalim seperti ini telah dipasarkan secara meluas di serata New York, Indonesia dan New Zealand.

Apa yang lebih menyedihkannya ialah, dia menganiaya haiwan yang tidak dapat mempertahankan diri mereka. Padahal masih banyak lagi objek lain yang boleh dikormesialkan... Bukan menzalimi benda hidup seperti anak-anak kucing itu!

Kami benar-benar mengharap penganiayaan seperti ini dapat dihentikan secepat mungkin. Jika 'kucing bonsai' seperti ini menjadi trend baru dan setiap orang ingin membelinya, tiada apa lagi yang dapat kami katakan lagi jika unsur-unsur kemanusiaan sudah hilang dalam sanubari manusia itu sendiri.

Sumber : AJM Info "