Thursday, October 9, 2025

Cerita pasal RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025

Cerita pasal RUU Sewa Beli (Pindaan) 202


5

Semalam di Dewan Rakyat, kerajaan dah luluskan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025. Antara perubahan paling besar yang dibuat ialah kerajaan memansuhkan sistem kadar faedah sama rata dan juga Peraturan 78 yang sebelum ni digunakan untuk pinjaman sewa beli kadar tetap.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, cakap sistem lama tu dah tak adil sebab orang yang nak selesaikan pinjaman awal tetap kena bayar faedah tinggi seolah-olah pinjaman tu masih panjang. Jadi, kerajaan nak gantikan dengan sistem kadar faedah efektif yang dikira berdasarkan baki pinjaman yang belum dibayar, bukan jumlah asal pinjaman.

Maknanya sekarang, kalau seseorang bayar pinjaman lebih cepat, dia akan jimat faedah. Pendekatan baharu ni juga buat kiraan ansuran bulanan lebih telus dan adil. Pengguna boleh banding pakej pinjaman daripada pelbagai bank dengan lebih mudah dan tak ada lagi caj tersembunyi.

Selain tu, RUU ni juga benarkan penggunaan teknologi dalam urusan perjanjian sewa beli supaya proses jadi lebih moden dan cepat. Dalam pindaan ni, pemilik kenderaan wajib maklumkan kepada penyewa kalau ada perubahan kadar faedah efektif dalam tempoh yang ditetapkan.

Ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang dua-dua sokong sebab pindaan ni memang bagi kelebihan kepada pengguna.

Datuk Suhaimi Nasir dari BN Libaran cadangkan supaya perlindungan pengguna diperkuat dengan mewajibkan pendedahan kos sebenar pinjaman dan juga pelaksanaan moratorium automatik untuk golongan M40 dan B40 bila berlaku krisis seperti bencana atau kehilangan kerja.

Sementara tu, Abdul Latiff Abdul Rahman dari PN Kuala Krai pula cadangkan supaya satu bahagian khas tentang sewa beli Islam dimasukkan dalam undang-undang ni supaya selaras dengan prinsip syariah dan elak unsur riba dalam pinjaman untuk pengguna Islam.

Kesimpulannya, pindaan baru ni bagi nafas baharu kepada sistem sewa beli di Malaysia, lebih adil, lebih telus dan lebih berpihak kepada rakyat.

No comments: