Dilema Melayu kerana tolak Islam
Oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS.
Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990 adalah tercatat dalam sejarah. Hakikatnya pelaksanaan DEB menyebabkan Bumiputera tak kemana, melainkan ada segolongan sahaja yang mengecapi nikmat. Tetap sasaran pemilikan kekayaan negara hanya 18 daripada 30 peratus yang disasarkan. Kenapaa gagal? Dr. Mahathir selaku perdana menteri masa itu ada jawapan sebenar. Habis kenapa Dr. Mahathir sembunyi punca?
Kita sedang menyambut maulud Nabi Muhammad SAW maka kita sepatutnya mengambil ajaran Nabi, iaitu mengajar kita menjalin persaudaraan dan berkasih sayang. Nabi tidak ajar kita supaya mementingkan bangsa. Justeru tidak harus kita mengungkitkan soal dilema atau tidaknya bangsa kita.
Bila sebut kepentingan satu-satu bangsa, sudah tentu akan ada bangsa lain yang sensitif dan berdendam. Maknanya bila diutamakan kepentingan orang Melayu, sudah tentu orang Cina dan India akan berdendam, kerana inginkan kepentingan yang sama. Atas dasar inilah Islam mengajar kita mengutamakan persaudaraan. Lantaran atas nama bangsa akan timbul apa sahaja tindak balas berupa dendam kesumat.
Islam meletakkan asas, iaitu masing-masingnya tidak boleh dendam kesumat dan dengki mendengki. Inilah kelebihan Islam yang tidak mengajar kita menghina satu-satu bangsa. Malah Islam tidak membenarkan berlaku hina-menghina antara darjat satu-satu bangsa. Termasuklah si-kaya tidak boleh menghina si-miskin, kerana si-kaya adalah saudara dengan si-miskin.
Demikian pula, semangat persaudaraan dan tolong-menolong merupakan ajaran Islam yang menjamin kehidupan manusia, tidak kira bangsa apa sekalipun agar hidup dengan aman dan damai. Justeru semangat ini dipakai di dalam solat berjemaah. Dalam kaedah solat berjemaah, setiap orang tidak kira Melayu, Cina atau India asalkan Muslim, ia tetap layak atau boleh menjadi Imam solat jemaah. Hatta dalam masyarakat yang majoriti Melayu sekalipun, sesiapa sahaja boleh jadi Imam, tidak kira apa bangsa sama ada Cina atau India asalkan layak.
Demikian lagi di dalam ajaran Islam, sesiapa sahaja yang datang awal untuk solat berjemaah, maka dia boleh duduk (masuk) di saf depan. Ia tidak mensyaratkan semestinya bangsa Melayu sahaja boleh duduk di saf itu. Hal yang sama diajar oleh Islam, iaitu sesiapa sahaja boleh menjadi khatib (berkhutbah) tidak kira apa bangsa sekalipun. Apa yang penting seseorang itu boleh berkhutbah dengan memenuhi rukunnya seperti boleh baca al-Quran dan hadis serta berpesan-pesan dengan keimanan dan ketakwaan. Hal ini membuktikan kebaikan ajaran Islam dan cara-cara bagaimana Islam meletakkan titik persamaan antara bangsa-bangsa di dunia ini berasaskan prinsip kenal-mengenal dan bersatu padu serta ketakwaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan kita semua (al-Quran surah Hujurat ayat 13).
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Justeru itu tidak timbul isu dilema Melayu atau dilema mana-mana kaum apabila persoalan bangsa dan perjuangan sesuatu kaum itu berteraskan kepada ajaran Islam. Apa yang penting diamalkan ialah kita semua menjadi hamba abdi kepada Allah SWT. Sebagaimana seruan azan memanggil solat , disebutkan “Allahu Akbar” maka yang maha besar ialah Allah bukannya Melayu atau Cina atau India. Sementara di dalam bacaan tahyat dan salam terangkum maksud memuliakan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta ucapan selamat kepada seluruh bangsa di dunia ini. Maka inilah kehebatan faedah ibadat dan muamalat yang digabung dalam solat gunanya untuk dipraktikkan di dalam kehidupan manusia.
Sekali lagi diulangi, tidak timbul langsung dilema Melayu di sisi Islam. Ini kerana Islam sudah menyediakan ramuan yang cukup untuk dijadikan panduan hidup bagi mencapai keamanan, kedamaian serta kemakmuran di dunai sampai ke akhirat.
Namun timbulnya kegelisahan sehingga mencetuskan isu Melayu dalam dilema adalah kerana berpunca daripada ajaran Umno yang menolak perjuangan berasaskan bangsa. Akhirnya ia menyesatkan bangsa itu sendiri akibat tidak percayakan kepada kebaikan ajaran agamanya sendiri. Sedangkan di dalam surah Al-Fatihah (ayat 5-7) Islam mengajar kita agar memohon daripada Allah agar menunjuki jalan yang benar dan menjauhi jalan yang sesat.
Amatlah malang jika kita terus engkar dengan mengagung-agungkan bangsa, sedangkan ia bukan ajaran Nabi. Seharusnya kita tidak boleh melakukan suatu seruan perjuangan yang bercanggah dengan maksud surah Al-Fatihah ini. Caranya, kita tidak boleh menerima seruan perjuangan Melayu yang menolak Islam. Bila tolak Islam maknanya terima ajaran sekular. Atas sifat sekular, mereka itu akan terus berbelit-belit (mereka-reka berbagai-bagai hujah) hinggalah sanggup duduk di atas prinsip “agama lain (suku), politik lain (suku).” Lalu timbulnya ajaran yang asing dari Islam. Antara mengajar umat Islam supaya “tidak bawa politik ke masjid kerana masjid itu tempat beribadat.” Apakah ajaran seperti ini pernah diajar oleh Nabi Muhammad SAW? Sebenarnya, Nabi sendiri tidak pernah ajar supaya “perkara politik itu disebut di luar masjid.”
Memahami maksud di atas, maka di dalam azan (seruan solat) telah mengandungi makna yang jelas. Betapa ajakan beramai-ramai ke masjid untuk solat jemaah itu sendiri adalah urusan politik. Arahan Bilal ataupun Imam supaya ‘perbetulkan saf’ juga suatu nilai penyatuan bersifat politik ketika memulakan solat.
Demikian pula, khutbah Jumaat atau khutbah hari raya merupakan ceramah mingguan/musim perayaan di atas mimbar masjid juga menyentuh semua perkara yang relevan dengan kehidupan manusia. Maknanya di dalam masa berkhutbah, pihak khatib adalah penceramah yang menyampaikan seruan Islam demi kebaikan sistem hidup yang lengkap termasuk aspek sosial, ekonomi dan politik.
Maka terimalah perjuangan Islam, tinggalkan perjuangan sekular dan sudah tentu kita tidak akan berdilema dengan identiti siapa kita. Hakikatnya kita adalah hamba-Nya yang wajib patuh dan taat kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW."
Jawapan Mahathir
1. Percubaan Dato Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.
2. Nik Aziz juga akan berdiri dihadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi. Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri.
3. Sehingga kita diadili di akhirat kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa. Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz. Dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman.
4. Saya tidak pernah dakwa yang saya ini selalunya betul dan tetap ke syurga. Saya juga tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundi saya kerana itu akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat. Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz.
5. Dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa, atau menjamin balasan di akhirat kelak. Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang UMNO sebagai Jahiliah.
6. Untuk tidak menjadi Jahiliah sokonglah PAS. Apakah ulama-ulama Islam yang tidak punyai kepentingan politik sudah putuskan bahawa syarat untuk menjadi orang Islam ialah menyokong PAS? Di manakah dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyebut bahawa hanya dengan menyokong PAS baharulah seseorang itu beragama Islam? Kalau ini benar nenek moyang siapa yang jahil kerana tidak ada PAS masa mereka? Orang Islam lain di luar Malaysia sudah tentu bukan Islam kerana tidak ada PAS di negara mereka.
7. Orang UMNO adalah orang yang beragama Islam, walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS. Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli PAS juga adalah orang Islam. UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO sahaja yang Islam, atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam dan akan ke syurga.
8. Oleh kerana orang UMNO beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam. Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS.
9. Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam.
10. Mustafa Kemal Ataturk tidak menitik berat ke-Islamannya. Dia adalah seorang nasionalis. Pada masa dia berperang untuk negaranya, Turki dikuasai oleh orang Greek Kristian. Kerana nasionalismenya yang amat kuat, dia berperang sehingga Turki kembali ditakluk dan diperintah oleh orang Turki.
11. Dengan menyelamatkan Turki daripada orang Greek agama Islam terpelihara sehingga ke hari ini dan ke-Islaman orang Turki kekal. Sudah tentu Nik Aziz tidak akan akui orang Islam Turki adalah Islam.
12. Tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah s.w.t.
13. Terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam. Mereka nasionalis kerana mereka masing-masing sayang dan setia kepada negara mereka sahaja. Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara. Tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini. Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.
14. Nik Aziz sendiri berjuang hanya di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan. Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama.
15. Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini? Jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan UMNO untuk Islam secara yang terpampang dihadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli UMNO berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam. Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz.
16. Sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam. Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihanraya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihanraya.
17. Bolehkah Nik Aziz baca apa yang ada dalam hati orang Melayu UMNO Islam apabila mereka mengucap dua kalimah syahadah? Apakah Nik Aziz tahu apa yang ada dalam hati seseorang apabila dia berniat dalam hati semasa solat dan masa-masa lain. Apakah Nik Aziz percaya dia adalah manusia luarbiasa yang tahu apa ada dalam hati seseorang yang tidak sama dengan apa yang disebut olehnya?
18. Kuasa ini hanya ada pada Allah s.w.t. Adakah Nik Aziz juga mempunyai kuasa ini? Apakah pandangan Islam terhadap orang yang mendakwa dia boleh baca apa yang ada dalam hati manusia sepertimana Allah s.w.t. boleh membacanya.
19. Apakah dasar pejuangan UMNO telah saya jelaskan. Islam tidak menyuruh kita hanya membuat ibadat tertentu sahaja. Mempertahankan umat Islam di Malaysia adalah satu daripada yang diwajibkan ke atas orang Islam. Sebab itu orang yang terbunuh mempertahankan orang Islam dan negara mereka termasuk dalam golongan syahid.
20. Apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan nasionalis Melayu Islam supaya keupayaan menyelamatkan umat Islam dan agama Islam di Malaysia ada pada negara ini tidak menepati satu daripada kewajipan orang Islam? Untuk pengetahuan Nik Aziz Kerajaan pimpinan Melayu Islam nasionalis berjaya menolong orang Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara tertentu sehingga serangan keatas mereka terpaksa dihentikan.
21. Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.
22. Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.
23. Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.
24. Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.
25. Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?
26. Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; "Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, "Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
27. Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.
28. Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.
29. Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat); "Innamalmukminu na ikhwana..." iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.
30. Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, "maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
31. Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); "Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai..."
32. Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.
33. Nabi Muhammad tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.
34. UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.
35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.
36. PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.
37. Iqraq ditafsir sebagai "baca". Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.
38. Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.
39. Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.
40. Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.
41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.
42. Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atau theory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.
43. Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.
44. Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta'ala?
45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?
46. Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?
47. Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.
48. Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?
49. Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
50. Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.
Ulasan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.
Ada beberapa perkara yang saya lihat kekeliruan yang nyata dalam tulisan Tun Dr Mahathir. Ia boleh diikuti di sini : links Saya mengharapkan agar YAB Tuan Guru Nik Aziz juga akan memberikan respon beliau terhadap jawapan Tun ini. Kekeliruan tersebut boleh dilihat pada perkara-perkara berikut :
1. Percubaan Dato Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya.
- Rupa-rupanya memperingatkan tentang hakikat akhirat dianggap memperlekehkan iman seseorang.
10. Mustafa Kemal Ataturk tidak menitik berat ke-Islamannya. Dia adalah seorang nasionalis. Pada masa dia berperang untuk negaranya, Turki dikuasai oleh orang Greek Kristian. Kerana nasionalismenya yang amat kuat, dia berperang sehingga Turki kembali ditakluk dan diperintah oleh orang Turki.
- Rupanya Tun Dr Mahathir seorang pengkagum Mustafa Kamal Atartuk yang jelas memisahkan Islam dari kehidupan rakyat Turki.
15. Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini?
-Bilakah masanya nasionalis Melayu menyebut tujuan hidup ini?
16. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO
- Nik Aziz tidak pernah mengkafirkan ahli UMNO. Buktinya, tidak pernah ahli UMNO diminta mengucapkan syahadah bila masuk PAS. Baik-baik Tun, nanti kena saman.
35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.
- Nik Aziz merujuk kepada persempadanan pilihanraya yang diluluskan di Parlimen pada 9 April 2003. kalau Tun jadi PM tahun 2004 tu, mungkin BN tak menang besar kan Tun?
41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.
- Tun sepatutnya berhujah ttg isu ini dengan Menteri Pelajaran pada hari ini yang memansukhkan pengajian dalam Bahasa Inggeris.
45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar?
- Maksud Tun, dia tetap berjasa pada Islam. Kasihan kalau Tun beranggapan demikian.
Ada banyak lagi kekeliruan dalam tulisan Tun Dr Mahathir. Barangkali pembaca boleh membaca dan membuat penilaian sendiri. Insya-allah akan dijelaskan satu persatu selepas ini.
Ahmad Fadhli bin Shaari,
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.
2 comments:
daripada apa yang diperkatakan oleh Tun, hanya dapat dipatahkan (atau tidak) sedikit saja oleh SU Akhbar MB kelantan? mana ulasan yang lain?
nampak kurang matang dalam menjawab isu2 dari TUN..sebaliknya SU hanya menjawab dengan gaya double standard yang lemah..cubaan hanya mempertikaikan..ambil contoh penggunaan Bahasa Ingeris dlm math dan sains..SU mempertikaikan kembali kenapa dimansuhkan..tidakkah dahulu PAS cukup menolak penggunaan BI? tetapi selepas dari ulasan dari TUN, hanya penafian sedemikian?? kasihan..
sememangnya tulisan jawi semakin dilupakan..tetapi sebenarnya tidak..ramai je yg boleh memahami jawi. dan paling kelakar, satu penyataan "kenapa HARAKAH guna tulisan rumi??" tidak dijawab SU..funny!
soalan 45. penafian dari SU juga cukup kelakar..adakah cukup dengan "Kasihan kalau Tun beranggapan demikian" ??? ingin saya jawab kembali, apakah SU juga ingin MEMPERLEKEHKAN keimanan Abdullah bin Ubay?
dari 2011 persoalan ini timbul sehingga sekarang..apakah jawapannya?
sekiranya kita berpihak kepada MAT INDERA, apakah beliau bukan seorg NASIONALIS?? dari pemahaman Mat SABU, Mat Indera cuba memerdekakan negara?? atau apakah ianya hanya satu muslihat DAP memperalatkan orang melayu dalam KOMUNIS??
rakyat lebih pasti UMNO memperjuangkan hak MELAYU..ISLAM diangkat lebih tinggi dari POLITIK..menjadi IMAM dalam BARISAN NASIONAL..adakah PAS melakukan benda yang sama? PAS meletakkan pendirian yang sama sekali berubah2 untuk memenangi hati rakan sekutu. menyesuaikan ayat2 al-quran dalam situasi tertentu..apakah itu bukan suatu bentuk PENGHINAAN??
"soalan 45. penafian dari SU juga cukup kelakar..adakah cukup dengan "Kasihan kalau Tun beranggapan demikian" ??? ingin saya jawab kembali, apakah SU juga ingin MEMPERLEKEHKAN keimanan Abdullah bin Ubay?"
1. Adakah anda juga mengiktiraf keimanan Abdullah bin Ubay?
2. Saya juga tidak pernah menemukan mana2 kenyataan dari pimpinan parti PAS yang secara nyata mengkafirkan ahli UMNO. Mungkin anda boleh membantu saya mendapatkannya dari sumber yang sahih.
Post a Comment