Thursday, February 3, 2011

Nasihat kepada pengguna internet

"Assalamualaikum kepada semua pengguna internet. Semoga sihat walafiat semuanya.

Di sini saya nak ingatkan diri sendiri dan juga kesemua pengguna internet. Kadang-kadang kita terlupa, dan kadang – kadang kita terlalu taksub sehingga kita melampaui batasan yang ada. Dan jarang – jarang kita saling mengingati antara satu sama lain.


Jauhi fitnah.

Pertama sekali saya terpanggil untuk membetulkan satu budaya yang semakin berleluasa. Memang betul, dengan adanya internet dan segala kemudahan pada dewasa kini kita mudah mendapatkan maklumat. Tetapi berhati-hatilah dalam memilih dan menilai. Apa yang dikesalkan adalah segelintir antara kita terlalu mudah menerima sesuatu info tanpa sumber yang sahih sama ada mengeluarkan artikel mahupun dalam memberikan pandangan dan komen. Ingatlah bahawa sekiranya sesuatu yang diperkatakan itu tidak betul, kita sama menanggung dosa memfitnah dalam menyebarkannya. Berpeluangkah kita untuk memohon maaf terhadap orang yang difitnah?

Kawal ketaksuban.
Seterusnya, dalam kita berpolitik, kawallah ketaksuban kita. Apa yang diperhatikan ialah apabila seseorang itu menyokong kerajaan, apa yang diutarakan oleh pembangkang semuanya salah di mata pembaca tersebut. Samalah budayanya dipihak penyokong pembangkang. Apa yang kerajaan jalankan semua salah dihati pembaca kalian. Berlakulah adil dalam memberikan pandangan dan mengkritik. Sekiranya betul, katakan betul dan sekiranya salah, janganlah menegakkan benang yang basah. Tidak semua pembaca bersikap sebegini tetapi eloklah jika kita saling mengingati.

Jaga budi bahasa

Seronok juga baca artikel-artikel di interneti. Kadang-kadang banyak benda yang tidak dapat diperoleh sebagai maklumat sama ada di TV3 mahupun Utusan. dibenar nasihatkan dalam kita memberikan pandangan dan komen, jagalah budi bahasa kita. Jauhilah perbuatan mencarut, menghina, mencaci dan sebagainya (termasuklah menulis perkataan tanpa huruf yang cukup dan dihiasi dengan bintang-bintang seperti ini --->***)

Berfikir sebelum berbicara

Seterusnya saya percaya kesemua pembaca disini waras-waras serta mempunyai akal fikiran yang sihat semuanya, Insyaallah. Tetapi, kadangkala, sebelum kita mengeluarkan sesuatu artikel, memberi pandangan atau komen, ambillah masa sejenak untuk berfikir. Kadang-kala sesetengah benda yang diperkatakan itu menampakkan kedangkalan pembaca sendiri, tahap pemikiran, dan ''kecerdikan'' penulis. Fahamilah dengan betul dan kajilah sesuatu isu sebelum diperkatakan.

Akhir kata, satu kunci yang boleh dijadikan panduan kepada pada pembaca sekalian sebelum mengeluarkan artikel/komen/pandangan. Kuncinya ialah tanya pada diri sendiri sebelum menekan petak-petak huruf di laptop/komputer anda. « Adakah apa yang akan aku tulis, aku perkatakan ini akan disenangi oleh Nabi sekiranya Nabi membacanya dan adakah Allah menyukainya? »

Sesunguhnya Islam itu lengkap, malah dalam berbicara sendiri ada cara dan tatatertibnya.

Sekian, sama-sama kita betulkan. Wassalam.. =) "

No comments: