Friday, May 17, 2013

Kekitaan: Baik atau Buruk


Untuk membina masa hadapan yang lebih baik dan berjaya, kita sebagai hamba Allah perlu melihat sejarah dan pengalaman pada masa lalu. Ini kerana sejarah dan pengalaman adalah sebaik-baik guru. Kita perlu melihat bahawa banyak tamadun-tamadun yang dahulunya dibangunkan dengan megahnya, kemudian jatuh menyembah bumi. Jika kita lihat sejarah peradaban manusia pada masa lalu, didapati perpaduan atau kerjasama memainkan peranan yang penting semasa di awal pembangunan sesuatu kerajaan silam. Misalnya tamadun Parsi, Rom, Yunani, China dan banyak lagi peradaban peradaban manusia dibangunkan bermula dengan semangat kekitaan dan kerjasama dikalangan bangsa tersebut. Namun demikian kesemua tamadun tersebut runtuh setelah mencapai zaman kegemilangannya. Ini kerana perubahan sikap dan budaya masyarakat tersebut yang mana pada mulanya bersatu kemudian mula memburu kesenangan dan kekayaan dengan mengabaikan kerjasama.

Sudah menjadi takdir Ilahi, bahawa suatu bangsa atau kaum yang mundur suatu ketika dahulu kemudian menjadi kuat serta membina peradaban yang hebat. Siapa sangka, puak-puak Jerman yang pada masa dahulu digelar “orang-orang gasar” (Barbarian) kini maju dalam segala lapangan. Puak-puak Jerman ini pada ketika dahulu melarikan diri ke arah barat Eropah serta merempat di tanah jajahan Rom kerana dihambat oleh puak-puak Turki dari Asia Tengah pada kurun kelima.[1] Puak-puak Jerman ini kemudian bersatu tenaga. Antaranya puak Anglo Saxon berjaya membina kerajaannya di England setelah mengusir puak Briton ke pergunungan Wales. Begitu juga dengan puak Jerman yang lain seperti puak Frank yang membina kerajaannya di Gaul (Perancis) sehingga membina satu empayar yang mahsyur di bawah Charles Mantel dan Charlermage.

Begitu juga dengan bangsa Arab sebelum kedatangan Islam, amat lemah serta berpecah-belah kerana mengamalkan semangat kesukuan yang sempit sehingga diperkotak-katikkan oleh bangsa Rom dan Farsi. Namun setelah kedatangan Islam, wujudlah apa yang dinamakan dengan persaudaraan sesama Islam. Semangat kerjasama ini akhirnya menghasilkan sebuah tamadun yang agong.

Bangsa Mongol dan Tartar di utara negeri China juga pada asalnya puak yang berpecah belah sehingga terpaksa membayar ufti kepada kerajaan Dinasti Jin di yang berpusat di Peking. Namun setelah kesatuan wujud di bawah kepimpinan Gengis Khan, bangsa ini berjaya membina empayar yang amat luas dari negeri Cina sehingga ke lembah Poland di Eropah serta dapat memusnahkan kerajaan-kerajaan Islam di Timur seperti kerajaan Khawarismi (berpusat di Samarkand) dan kerajaan bani Abbasiyah (berpusat di Bagdad) yang saling bermusuhan. Namun, setiap sesuatu peristiwa itu pasti ada kebaikannya. Penakluk-penakluk berbangsa Monggol yang bersatu ini kemudian memeluk agama Islam dan akhirnya mewujudkan kerajaan-kerajaan Islam seperti di Xinjiang China (kerajaan Chagatai) dan kerajaan Islam di Eropah timur (kerajaan Golden Horse). Kerajaan Islam Mongol di Eropah kemudian berpecah dan kemudian tunduk pula kepada bangsa yang mereka takluk iaitu bangsa Rusia (Slav). Begitu juga kerajaan Chagatai yang berpecah dan akhirnya tunduk di bawah kerajaan Manchu.

Begitu juga dengan bangsa Melayu yang mana pernah mengecapi zaman kegemilangannya. Kerajaan-kerajaan Melayu sebelum kedatangan Islam pernah berusaha untuk menyatukan semua rumpun Melayu namun tidak berjaya secara keseluruhannya. Misalnya. Kerajaan Srivijaya pernah cuba menyatukan kepulauan Nusantara ini, namun Cuma dapat menguasai pulau Sumatera, Jawa barat, sebahagian Pulau Broneo barat, Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kra. Namun, apa yang dilakukan oleh kerajaan Majapahit  adalah lebih dianggap berjaya, walaupun tidak dapat menguasai keseluruhan rumpun Melayu di Nusantara. Namun setelah kedatangan Islam umat Melayu didapati dapat bersatu atas nama Islam walaupun terpisah dari segi politik. Ini kerana walaupun mempunyai empayar atau kerajaan yang berasingan, kerajaan-kerajaan ini dapat bersatu dari segi agama dan pertalian darah. Misalnya, Sultan Melaka mempunyai pertalian darah dengan sultan-sultan di Tanah Melayu dan Sumatera. Manakala Kesultanan Brunei mempunyai pertalian darah dengan kesultanan Manila, Mindoro, Manguindanau dan Kesultanan Sulu. Kesultanan Melaka dan kesinambungannya Kesutanan Johor-Riau seolah-olah diiktiraf sebagai Yang diPertuan Agong pada kini. Maka dengan ini apabila Kesultanan Melaka dan kesinambungannya Kesutanan Johor-Riau diancam oleh kerajaan asing maka, sultan-sultan negeri Melayu yang lain akan turut membantu. Begitu juga apabila kesultanan kesultanan Manila, Mindoro, Manguindanau dan Kesultanan Sulu diserang oleh Sepanyol maka adalah menjadi tanggungjawab kepada kesultanan Brunei membantunya.

Namun, kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu Islam ini akhirnya runtuh akibat hilangnya semangat kerjasama dengan dikalangan orang Melayu Islam. Banyak peristiwa-peristiwa yang mana terdapat kerajaan Melayu Islam yang bekerjasama pula dengan penjajah bagi menjatuhkan kerajaan Islam yang lain. Misalnya sewaktu penyerangan tentara Acheh ke atas Portugis di Melaka oleh Sultan Iskandar Muda pada tahun 1629, kerajaan Johor, Pahang dan Patani datang membantu Portugis di Melaka. Begitu juga dengan kerajaan Brunei yang pernah dikhianati oleh dua pembesarnya iaitu Pengeran Seri Laila dan Pangeran Ratna yang bekerja sama dengan Sepanyol bagi menyerang kerajaan Brunei pada 20 April 1578.[2] Walaupun serangan tersebut telah gagal, namun ia secara tidak langsung melemahkan kesultanan Brunei di kepulauan Filipina.

Berdasarkan sejarah silam didapati bangsa-bangsa yang dahulunya berpecah dan mundur telah melahirkan kerajaan-kerajaan yang hebat akibat dari perpaduan yang bercirikan perasaan kekitaan  atau assabiyah yang tinggi berdasarkan kebangsaan. Namun demikian tamadun dan kerajaan yang mereka dirikan akhirnya runtuh akibat perpecahan dan semangat kesukuan yang semakin mengecil berdasarkan keturunan.

Oleh: Al-Mansor Abu Said


[1] Puak-puak Jerman seperti Ostrogoth, Visigoth, Vandal, Lombard, Aleman, Frank, Anglo-Saxonbergerak dari sebelah utara sungai Rhine dan Danube kerana diburu oleh puak-puak liar dari Asia Tengah seperti puak Hun dan puak Alan.
[2] Lihat Kesultanan Brunei Darussalam Abad ke 15 dan ke 16 dalam Tamadun Melayu Jilid 3 oleh Wan Husein Azmi Abd Kadir

No comments: