Pecah beling atau nama saintifiknya Strobilanthes crispus atau
Saricocalix crispus (Acanthaceae) merupakan tumbuhan yang berasal dari
Madagascar hingga ke Indonesia dan telah dikenal pasti buat pertama
kalinya oleh Thomas Anderson (1832 - 1870) yang mengkelaskan tumbuhan
ini di bawah Spermatophyta (tumbuhan berbunga dan gymnosperma). Daun in
dikenali dengan nama pecah beling, enyoh kilo, kecibeling atau
kejibeling di Indonesia. Di Malaysia, pokok ini lebih dikenali dengan
nama pecah kaca, pecah beling atau jin batu. Pokok mudah ditanam dan
hidup subur di Malaysia. Daunnya telah digunakan secara tradisional
untuk merawat kanser, kencing manis serta batu karang dan juga sebagai
agen diuretik.
Tumbuhan ini mempunyai kandungan kalsium karbonat yang tinggi dan air
rebusannya bersifat alkali yang lemah. Kajian oleh Kusumoto dan
rakan-rakan (1992) menyatakan bahawa ekstrak air pecah beling mempunyai
kompaun atau molekul yang mampu untuk merencatkan pertumbuhan
retrovirus; agen dalam jangkitan virus seperti sindrom kurang daya tahan
penyakit (AIDS) dan juga mampu untuk merencatkan pertumbuhan sel
leukemia. Terdapat banyak kompaun yang telah diasingkan dan dikenal
pasti seperti asid kafeik, asid p-hidroksi benzoik, asid p-voumarik,
asid vanillik, asid gentinik, asid ferulik dan asid siringik.
Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan dan
Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), daun pecah beling
mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%),
kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%) dan fosforus (1%). Daunnya juga
mempunyai kandungan vitamin C, B1, B2 yang agak tinggi dan banyak bahan
yang lain seperti katekin dan tannin. Daun ini juga mengandungi
kafeina, tetapi kandungannya adalah rendah. Kesemua kandungan yang
dinyatakan menyumbang kepada paras jumlah antioksidan (total antioxidant
activity) yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan yerbamate (teh
herba) dan vitamin E (alfa-tokoferol).
Bagi kajian antikanser pula, kajian praklinikal telah dijalankan
untuk menilai keberkesanan ekstrak pecah beling secara in vitro (kultur
tisu) dan in vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu, ekstrak
pecah beling bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel
kanser kolon, kanser hati dan kanser buah dada. Ekstrak ini mampu
membunuh sel kanser dengan mengaruh sel kanser ini mati secara semula
jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Di samping itu,
ekstrak pecah beling ini juga mampu untuk memendamkan gen penyebab
kanser, sekali gus mengurangkan risiko dan keterukan kanser. Bagi kajian
haiwan pula, ekstrak air pecah beling pada kepekatan 2.5% dan 5% mampu
untuk mengurangkan keterukan kanser hati bagi tikus yang diaruh kanser
hati.
Fitosterol (sterol dari tumbuhan) telah berjaya diasingkan daripada
daun pecah beling ini. Bahan ini telah terbukti mampu untuk merencatkan
pertumbuhan sel kanser seperti yang telah disebutkan di atas. Bahan ini
juga dikatakan mampu untuk menurunkan paras kolesterol darah kerana
fitosterol akan bersaing dengan kolesterol di dalam usus, sekali gus
menyebabkan kolesterol dari makanan tidak dapat diserap.
Ekstrak air daun pecah beling juga telah diuji keberkesanannya
sebagai agen antidiabetis pada tikus yang diaruh diabetes. Ekstrak daun
pecah beling pada kepekatan 5% dan 7.5% mampu untuk menurunkan paras
gula darah di samping meningkatkan paras jumlah antioksidan (total
antioxidant level) darah bagi tikus yang diaruh diabetes atau kencing
manis. Ekstrak ini tidak mempunyai kesan ke atas paras gula darah pada
tikus normal, tetapi mampu untuk meningkatkan paras jumlah antioksida
(total antioxidant level). Peningkatan paras jumlah antioksidan (total
antioxidant level) dalam darah adalah penting untuk melindungi badan
daripada radikal bebas. Oleh itu, ekstrak ini sesuai bukan sahaja untuk
mereka yang berpenyakit, tetapi juga untuk mereka yang normal.
Kami telah menyediakan formula teh daripada daun pecah beling. Teh
pecah beling ini telah menunjukkan tahap antioksidan yang sangat tinggi,
merencatkan pertumbuhan sel kanser buah dada dan kanser ovari dan juga
berkesan untuk menurunkan paras gula darah pada tikus yang diaruh
diabates atau kencing manis. Hasil yang menarik lagi ialah di mana teh
pecah beling ini mampu untuk merencatkan pertumbuhan 2 daripada 9
mikroorganisma yang dikaji iaitu Streptococcus sobrinus dan
Streptococcus mutans. Bakteria yang disebutkan ini adalah bakteria yang
menyebabkan karies gigi.
Kesimpulannya, daun pecah beling merupakan tumbuhan yang mempunyai
banyak khasiat. Ia mempunyai jumlah antioksidan yang tinggi di samping
mampu untuk bertindak sebagai agen antioksidan, antikanser, antidiabetes
dan juga antimikrob. Walau bagaimanapun, kajian klinikal (human study)
masih perlu dijalankan untuk menentukan kesannya terhadap pesakit kanser
dan juga pesakit diabetes atau kencing manis.
Artikel oleh:
Prof. Madya Dr. Asmah Rahmat dan Mohd. Fadzelly Abu Bakar.
Jabatan Pemakanan dan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
UPM, Serdang, Selangor, Malaysia.
No comments:
Post a Comment