Buku tulisan Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times
yang kini masih dalam "tahanan" Kementerian Dalam Negeri, muncul
sebagai buku laris di Singapura, menyebabkan pengedarnya terpaksa
menempah seribu naskah tambahan dari luar negara.
Selain
dakwaan bahawa puluhan bilion ringgit Malaysia "terjatuh" ke dalam
lubang hitam semasa zaman pemerintahan Mahathir Mohamad, buku ini
menyarat beberapa cerita yang tidak diketahui umum.
Setelah menghubungi kedai buku berangkai di Singapura pada hari ini, MerdekaReview
mendapati bahawa buku ini telah habis stoknya di kedai-kedai buku
berangkai yang utama, melainkan Kinokuniya yang terletak di Takashimaya.
Kedai buku Prologue yang terletak di pusat beli belah ION, Orchard Road memberitahu wartawan MerdekaReview melalui telefon, bahawa buku berjudul Malaysian Maverick yang
dibeli oleh kedainya telah habis dijual dalam tempoh dua minggu.
Mereka telah membuat tempahan kedua, yang belum sampai stoknya. Mereka
mempercayai bahawa penerbit buku kini sedang menambah cetakannya.
Kedai
buku berangkai seperti MPH, Borders pula telah habis stoknya.
Satu-satunya kedai buku berangkai di Singapura yang masih ada stok
sekarang adalah Kinokuniya. Bagaimanapun, kedai ini enggan memaklumkan
jumlah jualan Malaysian Maverick atas alasan "maklumat sulit komersial".
Pengedar: Menambah tempahan 1,000 naskah
Menurut statistik daripada pengedar buku, Palgrave Macmillan, sejumlah 1,700 naskah buku berjudul Malaysian Maverick
diedarkan di Singapura. Menurut respon daripada kedai buku di "akar
umbi", stok buku ini telah habis dijual, maka mereka mengambil keputusan
untuk menambah tempahan sebanyak 1,000 naskah. Namun demikian,
disebabkan stok ini dihantar dengan pengangkutan laut, maka ia perlu
menunggu sehingga Februari untuk diedarkan ke pasaran.
Pada hakikatnya, sejumlah 800 naskah Malaysian Maverick telah
tiba di kastam Malaysia pada awal Disember 2009. Namun, buku baru ini
"ditahan" kesemuanya oleh kastam atas alasan untuk diperiksa KDN. Buku
ini masih dalam "tahanan" di pejabat Pelabuhan Klang, dan gagal masuk ke
pasaran buku Malaysia.
Barry Wain adalah editor The Wall Street Journal, kini sebagai pengkaji di Institute of Southeast Asian Studies. Dalam buku setebal 363 muka surat ini, Barry Wain telah mengulas pentadbiran PM keempat, Mahathir Mohamad selama 22 tahun.
Selain
itu, Barry Wain juga mengulas pengalaman Mahathir dalam pengajian, dan
pengalamannya ketika berkecimpung dalam politik dalam bab kedua. Selain
daripada maklumat yang dikumpulnya, Barry Wain juga menemuramah sahabat
Mahathir, termasuk Allahyarham Tunku Abdullah Tunku Abdul Rahman.
Walau
bagaimanapun, Mahathir pernah menafikan apa yang ditulis oleh Barry
Wain, setelah isu ini menjadi kontroversi. Malah, Mahathir mencabar KDN
untuk memberi laluan agar buku ini diedarkan di pasaran, supaya beliau
boleh menyaman penulisnya, dan beberapa orang lain yang "memfitnah"
beliau, lantas membersihkan nama untuk dirinya.【Baca blog Mahathir: MALAYSIAN MAVERICK】
Mahathir
muncul sebagai ahli parlimen buat kali pertama pada tahun 1964. Beliau
tinggal di rumah Tunku Abdullah semasa parlimen bersidang. Bekas
putera Negeri Sembilan ini membawa Mahathir untuk berlegar di Royal
Selangor Club, "memujuknya untuk menari dan mimum arak" (persuading him to dance and have a glass of white wine).
Sememangnya,
apa yang menarik adalah skandal yang berlaku ketika zaman pemerintahan
Mahathir (gambar kanan). Di bawah pena Barry Wain, Mahathir jelas
"cakap tak serupa bikin". Beliau melaungkan slogan "bersih, cekap dan
amanah", tetapi pentadbirannya bercanggah dengan apa yang dilaungkannya.
Pada
tahun 1980-an, semasa kejatuhan harga timah di dunia, Mahathir memberi
lampu hijau kepada syarikat "dua ringgit" Maminco Sdn Bhd untuk masuk ke
pasaran, supaya melambungkan harga timah. Ia berakhir dengan
kegagalan. Ketika ditemuramah oleh Barry Wain pada 31 Mac 2008,
Mahathir mengakui bahawa "saya tidak masak dengannya ketika itu, saya
tidak faham."
Malah, skandal Bank Bumiputera lebih membeliakkan mata. Untuk bail out syarikat
yang menjadi lambang perusahaan bumiputera ini, kerajaan telah
menyuntik wang secara langsung dan tidak langsung, sebagai cubaan
untuk membantunya melalui Petronas, tetapi akhirnya gagal.
Menurut Malaysian Maverick,
Bank Bumiputera ini telah menjadi mesin ATM peribadi. Pada tahun 1983,
UMNO telah meminjam RM200 juta daripada Bank Bumiputera, untuk membina
ibu pejabatnya di PWTC. Namun, UMNO tidak mampu untuk menjelaskan
hutang ini. Sehingga Julai 1988, UMNO telah berhutang dengan Bank
Bumiputera sebanyak RM300 juta, termasuk faedahnya. Malah pada tahun
1989, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Bank Bumiputera berhak untuk
mengambil alih PWTC yang dicagarkan.
Bekas
menteri kewangan, Daim Zainuddin ketika ditemuramah Barry Wain berkata,
UMNO akhirnya mencapai muafakat dengan Bank Bumiputera untuk membayar
pampasan RM126 juta.
Bab keenam yang
bertajuk, "Skandal, Skandal apa?", menyatakan bahawa tiga juta ringgit
hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhannya. Menurut Malaysian Maverick, skandal
seterusnya membawa jumlah kepada puluhan bilion ringgit, dan mendakwa
bahawa negara mungkin rebah kalau bukan disokong cukai dari Petronas.
Sumber: MerdekaReview
No comments:
Post a Comment