Tuesday, January 31, 2012

Perbezaan "Journal Berwasit" dan "Journal Terindeks"

Dunia akademik institusi pengajian tinggi masa kini heboh memperkenalkan dasar-dasar yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti atau nama universiti ke persada dunia. Setelah timbulnya pelbagai senarai itu dan ini di peringkat antarabangsa yang memberi kedudukan kepada universiti, maka rancangan universiti di Malaysia untuk turut serta meraikan senarai tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Apatah lagi Universiti Malaya yang pada senarai sulung terbitan THES-QS yang berjaya meletakkan dirinya di kalangan 100 universiti terbaik (dan kita semua pun tahu sebab kepada kejayaan tersebut...) namun merudum tak timbul-timbul selepas daripada kejayaan monumental tersebut.


Salah satu pemberat yang begitu diraikan dalam penyenaraian sebegini ialah terbitan artikel (makalah) dalam jurnal terindeks. Jurnal-jurnal yang terindeks ialah yang disenaraikan dalam pangkalan data atau senarai indeks bibliografi tertentu bagi membolehkan rujukan atau/dan petikan dilakukan terhadapnya. Contoh yang paling popular dan ‘bertaraf tinggi’ ialah oleh Thomson ISI oleh Thomson-Reuters – salah sebuah koglomerat media terbesar dunia yang melalukan kerja-kerja menilai sejauh mana jurnal-jurnal akademik yang sedia ada itu dipetik oleh orang lain (biasanya kefahaman ahli akademik sekarang menjurus kepada senarai ISI). Semakin tinggi kadar ‘petikan’ jurnal tersebut, semakin besar jugalah markah yang diperolehi jurnal tersebut. Kemuncak kepada pengindeksan jurnal-jurnal ini ialah senarai yang digelar sebagai faktor impak (impact factor) iaitu semakin tinggi faktor impak sesebuah jurnal, maka semakin ramailah penyelidik yang telah membaca artikel di dalamnya yang membawa kepada semakin tinggi jugalah ‘prestij’ jurnal tersebut.


Ramai di kalangan ahli akademik sendiri yang begitu teruja untuk memasukkan artikel mereka ke dalam jurnal-jurnal yang terindeks ini. Kemasukan artikel ke dalam jurnal terindeks ini seolah-olah sebagai satu pencapaian yang begitu membanggakan kerana bukannya mudah untuk menyertai satu senarai yang berprestij ini. Maka, mereka pun berkerja siang-malam, didorong oleh kehendak golongan pentadbir universiti seperti NC yang menyeru supaya mereka berusaha melakukan penerbitan artikel di dalam jurnal-jurnal terindeks ini. Untuk rekod, dua pangkalan data yang paling diraikan oleh universiti-universiti di Malaysia bagi senarai jurnal terindeks ini ialah ISI (sekarang dijenamakan dengan nama korporatnya, Thomson ISI) dan SCOPUS. Barangkali atas alasan berbayar, kemudian ‘berprestij,’ maka sebab itulah mereka begitu berusaha menerobos masuk ke dalam jurnal-jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data sebegitu. Kalau masuk yang percuma punya, umpama PubMed, PubChem atau Google Scholar sekali pun, belum tentu serinya itu ada apatah lagi keindeksannya tidak seprestij Thomson-ISI.


Namun, sama ada sedar atau tidak, bukan semua jurnal yang terindeks yang sebenarnya tidak pula menjadi jurnal yang berwasit. Apakah pula jurnal yang berwasit? Istilah 'wasit' ini penulis kali pertama membacanya dalam buku karya Naib Canselor UTM, Prof Dato’ Dr. Zaini Ujang yang membincangkan soal kedudukan universiti. Secara istilahnya, jurnal yang berwasit ini ialah jurnal yang artikel di dalamnya mengalami proses pembacaan dan kritikan oleh komuniti saintifik bagi menentukan sama ada layak atau tidak artikel tersebut diterbitkan. Secara mudahnya, dalam istilah Inggeris disebut: peer reviewed journals.


Oleh sebab itu, jurnal berwasit ini biasanya dikaitkan dengan jurnal akademik, jurnal yang penuh dengan tulisan, warna hitam putih, sangat kurang gambar rajah dan kalau pun ada carta/graf, sangat-sangatlah tidak menarik sama sekali. Jurnal ini mempunyai pengarangnya sendiri (dalam maksud ‘editor’), dan penilai dalaman serta penilai luaran. Kewujudan sistem penilaian inilah yang menyebabkan jurnal berwasit ini mempunyai kredibilitinya tersendiri kerana setiap terbitan artikel di dalamnya telah dinilai oleh organisasi penerbit dan juga penilai luaran yang turut serta memberikan pandangan terhadap artikel tersebut. Misalnya jurnal A yang diterbitkan oleh Universiti A, dinilai oleh pengarang A dan juga pengarang B daripada Universiti B. Disebabkan proses yang begitu lama, biasanya penerbitan jurnal berwasit ini memerlukan masa yang lebih panjang dan wujud senarai menunggu yang sudah pun beratur untuk diterbitkan.


Jadi, berbalik kepada persoalan tadi iaitu jurnal-jurnal yang terindeks dalam kumpulan yang berprestij tadi bukan semuanya tergolong dalam kategori jurnal berwasit. Malah, majalah mingguan pun masuk di dalam senarai jurnal terindeks itu. Maka, di manakah keobjektifan kita sebagai pengguna untuk meletakkan pemberat mana yang diperlukan oleh kita? Kalau di lihat daripada senarai Thomson ISI Social Science (misalnya bersumberkan laman internet pkukmweb) yang begitu ‘berprestij’ itu dan kita akan dapati di dalamnya ada tajuk-tajuk seperti Forbes dan Fortune yang secara teknikalnya merupakan ‘majalah mingguan.’ Tajuk New Scientist dalam senarai petikan ISI-Science pun sebenarnya secara teknikalnya sebuah ‘majalah.’ Mungkin tidak banyak majalah mingguan yang boleh menembusi senarai Thomson ini namun hakikatnya majalah tetap majalah.
Begitu juga Harvard Business Review yang begitu diraikan oleh banyak ahli akademik bidang perniagaan; pada hakikatnya merupakan (bertaraf) sebuah majalah walaupun berbentuk jurnal klasik. Hal ini disebabkan Harvard Business Review bukanlah sebuah jurnal berwasit, malah tidak menyertakan sebarang rujukan (bibliografi) pun untuk setiap artikel yang dikeluarkan! Sedangkan dalam kajian pemasaran seperti ‘kesetiaan pelanggan’ misalnya, salah satu artikel dalam jurnal tersebut telah mendakwa bahawa firma akan mampu mendapat keuntungan sehingga 80 peratus andai mampu mengekalkan hanya sekitar lima peratus daripada pelanggan mereka – seterusnya menyebabkan ‘kegilaan luar biasa’ dalam kajian berkaitan kesetiaan pelanggan (Keiningham et al., Loyalty Myth, John Wiley, 2005 yang memetik Harvard Business School, 1990, no. 5)! Adakah sebab namanya ada perkataan ‘Harvard’ maka prestijnya meningkat tanpa mengira sumber dapatannya?


Isu-isu berkaitan jurnal berprestij berasaskan indeks dan wasit memberikan cabaran kepada epistimologi keilmuan kerana kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing. Namun ada ketikanya komuniti keilmuan terlampau memberatkan sangat sehinggakan kedua-duanyalah seperti ‘segala-galanya’ dalam erti kata akademik. Adakah nilai tulisan (artikel) Prof Abu yang bergelar Prof Ulung atau Prof Diraja lebih rendah jika diterbitkan di dalam akhbar berbanding di jurnal? Bagaimana pula kalau Prof Abu ini seorang yang lebih gemar menulis buku-buku teknikal dan umum yang memungkinkan lebih ramai kumpulan sasarnya berbanding tulisan di jurnal yang kadang-kala terlalu ekslusif untuk diperoleh (dengan fakta banyak pangkalan data jurnal dan jurnal yang ‘berprestij’ berbayar). Akan tetapi, isu kesahihan terhadap apa yang disampaikan juga akan timbul andai tiada siapa yang memantau penulisan; kerana orang boleh menulis apa sahaja yang dia sukakan, mengemuka dan mempromosikan teori mereka sendiri dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang kepustakaan, kajian empirikal ataupun kajian lapangan.


Namun, pada akhirnya sifat keobjektifan sesuatu ilmu pengetahuan sentiasa menjadi pertikaian seandainya prestij jurnal sahaja yang dijadikan sebagai penanda aras keabsahan dapatan kajian. Hal ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada norma-norma Merton seperti perkongsian (Communalism), kesegatan (Universalism) dan Tiada berkepentingan (Disinterestedness). Jurnal yang hebat tidak semestinya boleh dibaca oleh orang ramai (kerana capaiannya bukannya percuma) dan perkara ini sudah melanggar konsep perkongsian. Aspek universalisme pengetahuan juga tidak diamalkan kerana majoriti yang terindeks ialah senarai jurnal berbahasa Inggeris dan terbitan Barat. Apabila nilai ilmu itu diletakkan pula sama ada diterbitkan dalam jurnal berprestij ataupun tidak, sudah semestinya akan boleh mencalar norma tiada kepentingan kerana nyata sekali, wujud kepentingan tertentu yang menyebabkan komuniti saintifik itu (baca: Universiti) cuba untuk menerbitkan artikel di dalam jurnal berprestij (agar dapat markah lebih baik dalam senarai kedudukan universiti). Norma Skeptikisme tersusun (Organized Skepticism) juga mungkin boleh dipertikaikan untuk jurnal-jurnal yang termasuk di dalam senarai prestij terindeks namun tidak pula mengalami proses wasit.


Beginilah salah satu cara ketidakpatuhan/ketidakakuran noram-norma Merton dengan menggunakan contoh jurnal berwasit dan jurnal terindeks....

Sumber: http://lappanblablabla.blogspot.com

No comments: