Saturday, October 29, 2011

Malim Kundang / Si Tanggang


Si Tanggang (ataupun "Si Tenggang") adalah sebuah cerita dongeng atau cerita lagenda masyarakat Melayu. Ia mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya, dan akhirnya bertukar menjadi batu setelah disumpah oleh si ibu dengan izin Tuhan.

Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama, iaitu balasan kepada manusia yang menderhakai ibunya.

Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular di kalangan masyarakat Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun. Golongan kanak-kanak sesuai didedahkan dengan cerita ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu juga perkara yang ditegah agama iaitu jangan derhaka kepada orang tua. Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.

Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang. Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat. Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat, mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.

Serba sedikit mengenai cerita ini... Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai). Kehidupan mereka amatlah miskin. Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.

Pada suatu hari, ketika sudah dewasa, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya kerana itulah peluang yang ada untuk mencapai cita-citanya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengan Si Tanggang kerana dia sangat rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkatnya. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal. Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Sultan amat menyukai akan Si Tanggang kerana bakat dan kepintarannya. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

Gembira dalam hati, Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Si Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif lagi hina itu di hadapan isterinya. Si Talang dan Si Deruma memanggil-manggil Si Tanggang, akan tetapi dia berpura-pura tidak kenal mereka. Isterinya bertanya mengenai mereka, tetapi Si Tanggang telah berbohong mengatakan bahawa ibu dan bapanya sudah lama meninggal dunia, disebabkan terlalu malu untuk menjelaskan asal usul dirinya itu.

Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap dan dengan cara yang tidak sepatutnya seorang anak lakukan terhadap orang tua. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampuni. Akan tetapi, penyesalannya itu sudah tidak berguna lagi. Segalanya sudah terlambat. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

Apakah pengajaran yang dapat kita ambil dari cerita Si Tanggang? Kedua orang tua kita seharusnya kita layan dengan baik. Walaupun mungkin mereka sudah tua dan miskin, janganlah kita memandang mereka dengan sebelah mata. Semasa kita masih bayi, kita telah dijaga dan dibelai dengan sepenuh kasih sayang sehingga kita dewasa. Tanpa mereka mana mungkin kita boleh melihat dunia yang serba indah ini. Doa yang dilafazkan dari mereka penuh dengan keberkatan. Sayangilah mereka sementara mereka masih ada dan jika mereka sudah tiada, hadiahkanlah pahala untuk mereka. Semoga anak-anak kita juga akan mencontohi apa yang kita lakukan itu.