Thursday, November 18, 2010

Empayar Benua Islam Siam Kedah?


Saya terbaca beberapa buah artikel yang mendakwa wujud sebuah empayar yang bernama Empayar Benua Islam Siam Kedah. Mereka telah menafikan kewujudan empayar Melaka yang ditubuhkan oleh Parameswara pada tahun 1400 (jika dirujuk buku teks sekolah pada hari ini). Mereka mengatakan bahawa Melaka hanyalah sebuah kerajaan yang diperintah oleh raja daerah. Kebanyakan hujah mereka adalah berdasarkan kepada "Buku Undang-Undang Kedah". Cubalah baca antara catatan yang dimuatkan oleh salah satu daripada blogger yang menyokong teori tersebut. Nyatakan pendirian anda.

Peta di atas didakwa "Empayar Benua Islam Siam Kedah"

..........................................................................................

Berikut adalah salah satu artikel dari blog resam Melayu

Semua pernah membaca sejarah Melaka. Paling tidaknya mengetahui sejarah Melaka diajar di sekolah. Buku sejarah nyata menyebut Melaka dibuka oleh Parameswara pada tahun 1400. Bukti sejarah awal Melayu di utara (Kedah Siam), telah ada kerajaan atau empayar Melayu berkembang di sana dan jajahannya meluas ke Nusantara termasuk Acheh dan Semenanjung Tanah Melayu (disebut Melaka).
great monggol 1744

Empayar Benua Islam Siam Kedah

Sejarah Melaka dipengaruhi oleh catatan Munshi Abdullah, ketika Farquhar dan Standard Raffles bertuan di Melaka. Inggeris hanya datang ke Melaka selepas Portugis dan Belanda, sedangkan cerita tentang Melaka (Semenanjung Tanah Melayu) sudah dicatat lebih awal dalam Manuskrip Melayu Lama – Buku Undang-Undang Kedah. Banyak bukti yang menunjukkan bahawa Kerajaan Benua Siam Islam Kedah telah bertapak lebih dahulu dari Empayar Melaka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan asal-usal raja Melayu juga datang dari Kerajaan Benua Siam Islam Kedah. Mereka melaksanakan adat istiadat Melayu yang diterima pakai dari Siam. Ini ada disebut dalam buku Undang-Undang Kedah. Parameswara Melaka (1424-1448) juga disebut sebagai Marhum Naga. Marhum Naga ialah almarhum Sultan Rijaluddin ibni Muhammad Johan Syah III. Baginda dikenali sebagai Rama Tibodi II dalam sejarah Thailand.

Sultan Muhammad Shah bukan sahaja Sultan Nagara Kedah, malah baginda juga memerintah Melaka bermula dari tahun 1201 lagi, ketika Melaka termasuk dalam jajahan Kerajaan Benua Islam Siam Kedah. Sedangkan Parameswara hanya disebut sekitar tahun 1424. Sejarah Melaka adalah sama namun tahunnya berbeza jika dibandingkan antara Buku Undang-Undang Kedah dan Sejarah Melaka. Penemuan syiling emas/perak di Langkawi yang tertera perkataan ‘Muhammad Syah, Al-Sultan Al-Qadah’ bersama-sama tembikar di Langkawi menguatkan bukti bahawa Kerajaan Maharaja Benua Islam Nagara Kedah telah lama wujud sebelum Melaka.

Pokoknya, kenapa buku teks sejarah Melayu kita tidak selari dengan sejarah asal benua Islam Kedah? Kemungkinan, manuskrip Melayu lama baru dipulangkan oleh Inggeris kepada kerajaan Malaysia pada tahun 2003 (tak silap saya), setelah Inggeris merampas manuskrip tersebut ketika peperangan Kota Beruas dahulu. Buku Undang-Undang Kedah adalah dari manuskrip Melayu lama tersebut yang telah dibukukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagaimana pula bukti yang menunjukkan pengaruh Siam dalam adat istiadat Melayu? Juga nama-nama tempat di Malaysia seperti Lukut dan Se rem ban di Negeri Sembilan yang bermakna lombong bijih dan beli rumah kampung. Bagaimana pula teori Hang Tuah, pahlawan Melaka yang hebat itu? Teori mengatakan Hang Tuah itu pahlawan bangsa Cina? Hang Tu ah dari makna Siam ialah laksamana berani (jadi) ketua. Cuba anda pikirkan! Bukan setakat sejarah Melaka yang terpesong, banyak lagi sejarah Melayu kita yang harus dikaji kembali agar bangsa Melayu kenal bangsa dan sejarah tamadun bangsa sendiri.

Ulasan
Di antara penghujung abad ke 13 dan pertengahan abad ke 14, terdapat 2 (dua) orang pengembara dari Itali (Venice) dan seorang lagi dari Timur Tengah / Moroko, iaitu masing-masing Marco Polo (1290-an), Odoricus Boemus de Foro (1320-an) dan Ibnu Battutah (1344-1345) yang melakukan pelayaran dari dan ke China melewati Selat Melaka. Dalam laporan mereka, mereka telah singgah di beberapa tempat di Sumatera, seperti Malaiur (Melayu / Zabag), Lamuri, Samudera Pasai, Barus dan sebagainya. Ketiga-tiganya sama sekali tidak menyebutkankan Melaka maupun Kedah. Ibnu Battutah hanya menyebutkan beliau telah singgah di pantai Timur Semenanjung tanpa menspesifikasi nama bandarnya (kemungkinan di pantai Timur belum ada bandar-bandar yang besar, hanya masih berupa kampung nelayan saja. Dari ketiga laporan pengembara tersebut boleh disimpulkan bahawa Melaka belum wujud / baru berupa kampung nelayan.

Seharusnya mitos tidak dicampur-adukkan dalam penulisan sejarah. Apakah benar Kedah (Kerajaan Benua Siam Islam Kedah) telah menjadi sultanat Islam pada penghujung abad ke 12 dan telah menguasai Melaka pada tahun 1201 ? Dari mana datangnya angka 1201 tersebut? Apakah buku Undang Kedah tersebut cukup sahih dan "reliable" untuk dijadikan dasar pengkajian sejarah ? Mengapa data dalam Undang Kedah berkenaan tidak di-”crosscheck ” atau dibuat ujian kesahan selari (con-current validity) dengan Sejarah kerajaan Sukothai / Ayuthaya atau Pattani ? Sejak bila pula orang-orang Siam dapat menembusi ke Semenanjung ? Catatan : Kerajaan Sukothai (yang beragama Buddha ) saja baru didirikan / ditubuhkan tahun 1238 dan diperlukan waktu yang lama puluhan tahun untuk mereka sampai ke Semenanjung. Islamisasi Pattani (Jiran Kedah) baru mulai pada akhir abad ke 13 / awal abad ke 14 yang bermula disyiarkan oleh orang-orang Pasai (dari kerajaan Islam pertama di Nusantara). Jadi, apa yang dimaksud dengan Kearajaan Benua Islam Siam Kedah ? Dari mana datangnya orang-orang Siam Islam tersebut?

1 comment:

Dahlea Al-Saadi said...

sejarah sebenar yang dimusnahkan dan isembunyikan..terasa berang diperlaku sebegitu sehingga generasi tdk mgenali tamaddun unggul sendiri