Friday, December 25, 2015
Perbezaan Gaza vs Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Labels:
Agama
Monday, December 7, 2015
Syi'ah: Hubungannya dengan bangsa Farsi (Iran)
Tulisan ini adalah berkenaan dengan perkaitan antara Syiah dengan bangsa Farsi (Iran). Al-Maqrizi (al-Maqrizi: al-Khutat, juz 1, ms. 362) pernah berkata : "Bangsa Parsi dahulunya mempunyai kerajaan yang luas dan kekuasaan yang tinggi; mereka memandang bangsa Arab sebagai suatu bangsa yang tidak bertamadun.
Akan tetapi setelah kerajaan Parsi itu jatuh ke tangan bangsa Arab, berubahlah pandangan mereka. Mereka mengalami penderitaan perasaan yang berat dan berlipat-ganda. Mereka tidak sanggup melakukan konfrontasi fizikal. Oleh itu mereka beralih kepada tipudaya yang licik. Maka beberapa orang di antara mereka berpura-pura memeluk Islam.
Mereka berusaha merangkul pengikut-pengikut Syi'ah dengan cara memperlihatkan kecintaan mereka terhadap keluarga Nabi (Ahlulbait), dan mencela kezaliman-kezaliman yang dilakukan terhadap Saidinah Ali. Sesudah itu mereka menggunakan bermacam-macam cara terhadap kaum Syi'ah ini, hingga akhirnya mereka dapat mengeluarkan golongan tersebut dari jalan yang benar.
Ibnu Abdi-Rabbih meriwayatkan ucapan daripada as-Sya'bi: "Kaum Rafidhah (alIqdul Farid, juz 4, ms. 303) adalah Yahudinya ummat ini. Mereka membenci Islam seperti orang-orang Yahudi membenci Agama Nasrani. Mereka memasuki Islam bukanlah kerana keinginan hati mereka dan bukan pula kerana rasa takut kepada Tuhan, melainkan hanyalah untuk mencelakakan dan membinasakan ummat Islam.
Saidinah Ali pernah membakar mereka dan membuang mereka ke negeri-negeri lain. Bencana kaum Rafidhah ini sama dengan bencana orang-orang Yahudi. Kalau orang-orang Yahudi berkata: "Raja hanyalah dari keluarga Daud," maka kaum Rafidhah pun berkata: "Raja hanyalah dari keluarga Ali bin Abu Talib."
Kalau orang-orang-orang Yahudi berkata: "Tidak ada kewajiban untuk berjihad fi sabilillah, kecuali kalau al-Masih al-Muntazar sudah keluar," maka kaum Rafidhah pun berkata: "Tidak ada kewajiban berjihad fi sabilillah, kecuali kalau al-Mahdi al-Muntazar sudah keluar." Kalau orang-orang Yahudi menghalalkan darah setiap orang Islam, maka Rafidhah pun demikian pula.
Dan kalau orang-orang Yahudi telah mengubah-ubah Kitab Taurat, maka orang-orang Rafidhah tidak sanggup mengubah nas-nas al-Quran, kerana itu mereka lantas mengadakan penafsiran yang dinamakan "penafsiran secara batin," dan mereka ubah makna-makna al-Quran itu. (alIqdul Farid, juz 4, ms. 409-410).
Ustaz Ahmad Amin (Ahmad Amin: Fajrul Islam, ms.276-277) berkata: "Sebenarnya, menjadi Syi'ah itu adalah merupakan tempat perlindungan bagi orang-orang yang ingin menghancurkan Islam disebabkan kerana rasa permusuhan atau kedengkian dan juga orang-orang yang ingin memasukkan ajaran-ajaran nenek-moyang mereka ke dalam ajaran-ajaran Islam, baik dari ajaran agama Yahudi, Nasrani, Zoroastrianism (Majusi) dan Hindu.
Begitu pula orang-orang yang ingin memerdekakan negeri mereka dan memberontak terhadap kekuasaan Islam. Mereka ini semuanya berkedok sebagai orang-orang yang menyintai "Ahlulbait" untuk menyembunyikan maksud-maksud jahat mereka.
Ajaran-ajaran Agama Yahudi telah timbul dalam kepercayaan Syi'ah dengan adanya pendapat tentang "raj'ah". Ini kerana kaum Syi'ah berkata: "Api neraka diharamkan atas penganut Syi'ah, kecuali hanya sebentar saja." Pendapat ini sesuai dengan kepercayaan orang-orang Yahudi yang mengatakan: "Api neraka tidak akan menyentuh kami, kecuali hanya beberapa hari saja."
Ajaran agama Nasrani pun muncul pula dalam kepercayaan Syi'ah, ternyata dalam ucapan segolongan mereka: "Nisbahnya Imam kepada Tuhan adalah sama dengan nisbahnya al-Masih kepada-Nya." Mereka juga berkata: "Lahut dan Nasut (ketuhan-an dan Kemanusiaan) telah bersatu dalam peribadi Imam. Kena-bian dan kerasulan tidaklah terputus selama-lamanya. Orang yang telah bersatu dengan Lahut adalah Nabi."
Begitu pula ajaran-ajaran agama Brahma, ajaran-ajaran ahli-ahli falsafah dan Agama Majusi sebelum Islam, telah muncul pula dalam karangan Syi'ah; misalnya kepercayaan tentang reinkarnasi, pertubuhan Tuhan, serta bertempatnya roh Tuhan pada diri seseorang dan kepercayaan-kepercayaan lainnya yang terkenal dalam agama-agama tersebut."
Nota. Rafidhah adalah salah satu sebutan yang dipakaikan kepada kaum Syi'ah. Kata orang, Zaid bin Ali yang mula-mula menyebut kaum Syi'ah itu dengan Rafidhah, lantaran mereka itu menolak untuk membantunya. Pendapat lain mengatakan, mereka itu dinamakan Rafidhah ialah kerana mereka menolak kekhilafahan Abu Bakar dan Umar. Adapun orang-orang yang mengutamakan Ali daripada Usman, akan tetapi mengakui kekhilafahan Abu Bakar dan Umar, mereka inilah yang disebut Syi'ah. (Lihat al-Iqdul Farid, juz 4, ms.404).
Labels:
Syi'ah
Sunday, December 6, 2015
Misteri Peribadi Para Khalifah Bani Umaiyah
Pandangan ahlisejarah, terutama dari
golongan kaum Muslimin sendiri, terhadap kemurahan-hati, cinta-damai dan
kelapangan-dada yang telah dikenal pada peribadi pahlawan-pahlawan seumpama
Mu'a-wiyah, Abdul Malik, al-Walid dan Umar bin Abdul Aziz. Begitu pula, perlu
dingatkan bahawa usaha-usaha penyebaran Islam yang telah dilaksanakan mereka
dengan baik, baik sebagai penakluk-penakluk, guru-guru atau mubaligh-mubaligh.
Tiga orang pertama yang tersebut di atas itu telah berjasa untuk memanjangkan
bendera Islam di berbagai daerah, sehingga ia berkibar dengan megahnya di
daerah yang demikian luasnya, menaungi berjuta-juta, bahkan beratus-ratus juta
umat manusia. Sedangkan yang keempat, iaitu Umar bin Abdul Aziz, dengan
sifat-sifat keutamaan dan cinta-damai yang dimilikinya, telah berhasil menarik
mereka yang berjuta-juta masuk ke dalam Agama Islam. Atau katakanlah, bahawa
mereka dengan keinsafan sendiri telah menggabungkan diri kepada Agama Islam
yang telah mencipta Khalifah-Khalifah yang jarang tolok bandingannya itu.
Memang benar bahawa daerah Andalusia yang telah ditaklukkan Bani Umaiyah
kemudiannya terlepas dari tangan kaum Muslimin, tetapi hal ini tidaklah terjadi
pada masa pemerintahan Bani Umaiyah itu. Yang bertanggungjawab atas hilangnya
daerah itu adalah mereka yang memegang pemerintahan berikutnya.
Inilah sinar terang yang
kita gunakan untuk memulai perbahasan ini, yang kita maksudkan untuk
membenarkan yang benar, dan untuk mengingatkannya kepada orang-orang yang belum
menginsafinya selama ini. Iaitu mereka yang hanya melakukan perbahasan-perbahasan
menurut aliran yang telah digariskan orang-orang lain yang terdahulu, tanpa
memikirkan benar atau tidaknya, tanpa adanya kesedaran fikiran untuk
meletakkan sesuatu pada tempatnya yang benar. Dan kita pada masa ini, dalam
kehidupan keislaman kita sangatlah memerlukan suatu pemerintahan Bani Umaiyah,
yang akan dapat mewujudkan kembali "Persatuan Alam Islami" dan
menggalang kekuatan yang maha-dahsyat yang dulunya pernah menggentarkan
kerajaan-kerajaan yang terbesar di masa itu. Dan selanjutnya kita meneruskan perbahasan kita ini di bawah sinar terang yang tersebut di atas itu, tanpa
menaruh rasa permusuhan terhadap Bani Umaiyah dan tidak pula bertindak sebagai
pembela-pembela mereka, tetapi adalah sebagai orang yang berusaha mencari yang
benar, walau bagaimanapun juga banyaknya kesulitan-kesulitan yang kita hadapi
untuk mencapai tujuan itu. Dan apabila nanti kita menemukan sesuatu yang benar
maka dengan gembira akan kita cantumkan, tanpa menoleh lagi kepada yang
lainnya.
Apa-apa yang kita
sebutkan dalam kata pendahuluan ini, menyebabkan kita harus mengeritik dengan tuntas terhadap kritikan Nicolson dalam bukunya A Literacy of
the Arab, (ms. 139) bahawa
"kaum Muslimin menganggap kemenangan Bani Umaiyah di bawah
pimpinan Mu'awiyah itu sebagai kemenangan Aristokratis-Wasaniyah yang telah
memerangi Rasulullah dan para sahabatnya, dan yang telah ditumpas oleh
Rasulullah dalam perjuangan yang memakan waktu yang lama, sampai mereka
bertekuk-lutut di bawah kekuasaannya".
Kita sungguh tidak
mengerti, kaum Muslimin manakah yang dimaksudkan oleh Nicolson ini. Adapun yang
dituturkan dengan tegas oleh sejarah ialah, bahawa dalam masa pertarungan antara Ali dan Mu'awiyah, kekuatan
Mu'awiyah semakin hari semakin bertambah kokoh, dan sebaliknya, pihak Ali
semakin lemah. Dan banyak di antara tokoh-tokoh kaum Muslimin datang berpihak
kepada Mu'awiyah dan memberi sokongan kepadanya, setelah mereka saksikan
kemenangan Mu'awiyah semakin nyata, sedang dalam kalangan pengikut-pengikut Ali
telah terjadi kekacauan dan pembangkangan terhadapnya, sehingga tidaklah menghairankan bahawa sesudah wafatnya
Ali semua kaum Muslimin telah bergabung kepada Mu'awiyah. Dan Mu'awiyah sendiri
pernah menjelaskan sebab-sebab kemenangannya itu, antara lain ialah: kerana ia
lebih akrab kepada Quraisy, dibanding dengan Ali. Dan ini adalah suatu hal yang
benar, yang cukup jelas, hampir bagi semua orang yang mengadakan penyelidikan
dalam Sejarah Islam. Mu'awiyah berkata: Ada empat macam faktor yang telah
menolong untuk mengalahkan Ali.
Pertama: Aku senantiasa
menyembunyikan rahsia, sedang Ali suka membukakan rahsianya.
Kedua: Aku mempunyai tentera yang terbaik dan amat patuh, sedang Ali mempunyai tentera yang paling jelek dan amat pembangkang.
Ketiga: Aku biarkan ia bertempur melawan pasukan Aisyah yang menunggang unta, dan
aku berkata dalam hatiku: Jika mereka dapat mengalahkan Ali, sudah barang tentu
bagiku lebih mudah untuk mengalahkan mereka, dan jika Ali dapat mengalahkan
mereka aku akan menuduhnya sebagai pembunuh mereka.
Keempat: Aku lebih dicintai oleh orang-orang Quraisy dari-pada Ali.
Pendapat dari al-Khudhari mengenai peribadi Ali bahawa ia bukanlah seorang yang disenangi oleh para pemimpin di masanya, kerana ia mengabaikan musyawarah dan ia terlalu percaya akan dirinya. Ustaz al-Khudhari menutup uraiannya dalam masalah tersebut dengan ucapannya bahawa:
"Sebab yang terutama dari
tidak-stabil-nya keadaan di masa pemerintahan Ali, ialah kerana ia terlalu
percaya kepada dirinya dan memandang hanya pendapatnya sajalah yang benar.
Jarang atau hampir tak ada dia bermusyawarah dengan orang-orang besar Quraisy
dalam urusan penting sekali-pun. Malah terhadap beberapa orang-orang besar
Quraisy itu ia terlampau keras.
Dan akhirnya al-Khudhari memberikan
suatu perbandingan antara kekerasan Khalifah Umar dan keke-rasan Ali, katanya:
“Umar memang bersikap keras, tetapi seluruh
rakyat menyokongnya dan Ali bersikap keras pula, tetapi sebahagian besar
rakyat menentangnya”.
al-Khudhari (dlm Tarikhul Umum
al-Islamiyah)
Nampaknya Nicolson mengemukakan pendapatnya
yang dangkal iaitu dengan berpegang pada kenyataan bahawa Bani Umaiyah itu sudah
terlambat masuk Agama Islam. Tetapi hal ini tidaklah dapat dijadikan ukuran
yang benar. Khalifah Umar pun lebih kemudian masuk Islamnya daripada Usman,
Saad, Talhah, dan Zubir............, tetapi tak seorang pun di antara mereka
itu dapat melebihi Umar tentang kekuatan Islamnya. Dan kaum Muslimin semuanya,
termasuk Rasulullah sendiri merasa bertambah kuat dengan masuk Islamnya Abu
Sufyan, Rasulullah pernah memberikan kehormatan yang tinggi kepada Abu Sufyan
dengan menunjuk rumahnya sebagai suatu "haram", dimana orang-orang
boleh mendapatkan keamanan dan ketenteraman.
Thursday, December 3, 2015
Khilafah Umawiyah: Kekeliruan sejarah (III)
Misteri Khilafah Bani Umawiyah
Sebagaimana yang
kita bincangkan di ruangan yang lepas, antara kesalahan khalifah-khalifah Bani
Umayyah adalah mencaci maki Saidinah Ali bin Abu Talib di masa hidup dan
sesudah kematian beliau. Jika kita boleh meninjau persoalan ini dari segi
politik, maka kita ingin menyebutkan di sini bahwa Bani Umaiyah terpaksa
melakukan tindakan-tindakan itu, untuk membelokkan rakyat umum dari pemujaan
terhadap keluarga Ali, yang semata-mata hanya berdasar kepada kedudukan
orang-orang itu sebagai "Ahlilbait" atau "Keluarga
Rasulullah", tidak lebih dari itu! Maka alasan Bani Umaiyah mencaci Ali,
dan dengan menumpahkan kepadanya segala kekurangan-kekurangan, demi untuk
menjaga keselamatan pemerintahan mereka. Umar bin Abdul Aziz, salah seorang
dari Khalifah-Khalifah besar Bani Umaiyah, pernah menjelaskan hal ini dalam
percakapannya dengan bapanya yang bernama Abdul Aziz bin Marwan. Umar berkata:
"Ayahku Abdul Aziz bin Marwan, bila berpidato
amatlah lancar dan lantang suaranya, tetapi bila ia hendak menyebut nama
Amirul-Mu'minin — Ali bin Abu Talib — dalam pidatonya, ia terpegun-pegun. Aku
tanyakan kepadanya tentang hal itu, ia menjawab: "Anakku, rupanya engkau
perhatikan keadaanku?" Aku jawab: "Ya!" Lalu ia berkata:
"Anakku, kau harus tahu, bahawa rakyat umum, seandainya mereka mengenal
Ali itu sebagaimana yang kita kenal, nescaya mereka semua akan meninggalkan
kita dan akan berpihak kepada puteranya".
Di
sini teranglah bahwa caci-maki yang dilancarkan Bani Umaiyah kepada Ali itu
hanyalah untuk "mengubati" rakyat umum. Kita percaya bahwa seorang
yang meninggalkan Mu'awiyah dan berpihak kepada Ali, dapat mengemukakan
alasan-alasan untuk membenarkan tindakan itu. Tetapi kenyataannya, rakyat umum
meninggalkan Mu'awiyah dan bergabung kepada putera Ali bukanlah kerana
kecekapan yang dimilikinya, dan bukan pula kerana keunggulannya dalam bidang
politik atau di medan perang, tapi hanya semata-mata kerana dia putera Ali!
Tidak lebih dari itu. Dan sentimen rakyat umum inilah yang mendorong Bani
Umaiyah untuk mencaci Ali dan menumpahkan segala keburukan kepadanya, walaupun
besar kemungkinan bahawa hati-nurani sendiri mengingkari perkara-perkara itu.
Yang menyebabkan
kita berusaha mencarikan alasan semacam itu untuk Mu'awiyah dalam sikapnya
mencaci Ali itu adalah kenyataan bahawa Mu'awiyah itu terkenal sebagai orang
yang lapang-hati, penyantun dan suka memberi maaf. Dan kelapangan-hatinya ini
telah terbukti pada sikapnya terhadap Amru Ibnul-As sehingga ia telah merangkul
Amru ke pihaknya. Pada hal hubungan antara Mu'awiyah dan Amru ini bukanlah
hubungan yang mesra. Begitu juga Mu'awiyah telah memperlihatkan
kelapangan-hatinya itu terhadap Ziyad bin Abihi, padahal Ziyad ini dulunya
salah seorang dari pengikut-pengikut Ali yang setia dan sangat
benci kepada Mu'awiyah. Setelah Ali meninggal, Mu'awiyah memberikan jaminan
keamanan dan pengampunan untuk Ziyad dan bahkan ia berusaha mengambil hatinya.
Selain itu Mu'awiyah juga telah menunjukkan kemurahan-hatinya kepada
al-Mughirah bin Syu'bah yang telah menjauhkan diri dari kekacauan. Begitu pula
terhadap Marwan Ibnul-Hakam yang pernah memberikan bai'ah (sumpah-setia) untuk
pengangkatan Ali menjadi Khalifah. Akhirnya begitu pula terhadap yang
lain-lainnya, seperti putera-putera Ali: Hasan dan Husain, sehingga mereka ini
tidak pernah mengalami hal-hal yang tidak baik di masa hidup Mu'awiyah dan
Mu'awiyah tidak pernah mengurangi sedikitpun jua apa-apa yang telah dijanjikannya
kepada mereka. Jadinya faktor yang mendorong Mu'awiyah melanjutkannya sikapnya
mencaci Ali itu ialah keinginannya hen-dak memperkokoh kekuasaannya dengan
mengalihkan perhatian rakyat umum dari Ali dan putera-puteranya.
Labels:
Bani Umayyah,
Muawiyyah,
Sejarah
Wednesday, December 2, 2015
Khilafah Umawiyah: Kekeliruan sejarah (II)
Bani Umaiyah telah dituduh sebagai "Penguasa-penguasa Arab", bukan "Penguasa-penguasa
Islam". Yang menjadi alasan mereka dalam tuduhan ini ialah bahawa Bani
Umaiyah itu telah melakukan penindasan dan penganiayaan terhadap kaum Muslimin
yang bukan bangsa Arab. Anehnya, di antara ahli-ahli-sejarah di Eropah ada pula
yang tertarik kepada pendapat tersebut; misalnya Wellhausen dari Jerman (dalam Hawting,
1989). Tetapi tuduhan itu ternyata
lemah bila kita uji dengan kritikan yang jujur dan perbahasan yang mendalam.
Keadaan yang sebenarnya ialah: bahawa bangsa Parsi — yang bukan bangsa Arab itu
— telah menggabungkan diri kepada Saidinah Ali sejak di awal permulaan persengketaan, dan mereka
memerangi pasukan-pasukan Mu'awiyah. Kemudian mereka menimbulkan banyak
kekacauan-kekacauan dan kerosakan dan mengobarkan api peperangan terhadap Bani
Umaiyah. Perbuatan mereka ini sudah tentu menimbulkan kemarahan golongan Bani Umaiyah
kepada mereka.
Maka masalah yang sebenarnya
tidaklah lebih daripada tindakan untuk mempertahankan diri dan rasa saling
membenci antara bangsa Parsi dan Bani Umaiyah. Di Syria sendiri, yang merupakan
markas dan tempat lahirnya Khilafah Umawiyah, pada masa itu banyak kaum Muslimin
yang bukan bangsa Arab. Begitu juga di Mesir dan di Afrika Utara. Tetapi mereka
ini tidak pernah mengalami kemarahan Bani Umaiyah seperti yang dialami bangsa
Parsi yang telah memulai permusuhan terhadap mereka dan senantiasa mencari-cari
jalan untuk mengobar-ngobarkan api permusuhan.
Salah satu kesalahan yang dilakukan
Bani Umaiyah ialah bahwa mereka telah mencaci Ali bin Abu Talib pada masa
hidupnya. Dan setelah ia meninggal, mereka terus juga melakukan perbuatan yang
mungkar ini (Ahmad
Shalaby, 1975; Hamka, 1961). Keadaan ini menimbulkan
pertanyaan: Mengapa Mu'awiyah tak dapat berlapang dada untuk menghentikan
caciannya terhadap musuhnya yang telah meninggal itu? Di sini kebanyakan ahli
sejarah yang tidak memihak pada mana-mana golongan berpendapat bahawa perkara ini, — walaupun dapat dianggap sebagai aib
peribadi — namun tidaklah mengurangi kebaikan Mu'awiyah (Ahmad
Shalaby, 1975), atau pahlawan-pahlawan Bani
Umaiyah lainnya dan tidak pula akan menurunkan nilai mereka sebagai
pahlawan-pahlawan perang dan ahli-ahlipolitik yang terkemuka.
Rujukan
Ahmad Shalaby. (1975). Sejarah dan Kebudayaan Islam II. Singapura:
Pustaka Nasional Pte LtD.
Hamka. (1961). Sejarah
Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte LtD.
Hawting, G. . (1989). The
History of al-Tabari (Translated and Annotated). State University of New
York Press. Albany.
Labels:
Bani Umayyah,
Muawiyyah,
Sejarah
Tuesday, December 1, 2015
Khilafah Bani Umayyah (41H – 132 H): Kekeliruan Sejarah (I)
DENGAN nama Allah
yang Mahatinggi dan Mahabesar, kita mulai perbahasan tentang sejarah
Khilafah Umayyah, serta gerakan-gerakan yang berhubungan dengan
alam fikiran dan gerakan-gerakan revolusi yang terjadi pada masa itu. Kita menyedari bahawa kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh setiap orang yang sedang
mengadakan perbahasan tentang sejarah di zaman Bani Umayyah. Banyak faktor yang disengajakan
atau tidak telah menyebabkan merosotnya nilai sejarah Bani Umaiyah. Hampir
semua buku-buku sejarah yang ada pada masa kini sangat kurang pujian dan sanjungan terhadap sebahagian besar khalifah-khalifah
yang pernah berkuasa dalam Daulah Umayyah itu (kecuali beberapa buku yang ditulis oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin). Tetapi sebaliknya, dalam
kebanyakan buku-buku tersebut terdapat tuduhan-tuduhan dan kecaman-kecaman terhadap
mereka dengan panjang-lebar dan dalam buku-buku yang lain pula agak sederhana. Yang paling lunak di antaranya hanya membatasi penulisan mereka dengan sekadar
menyebutkan celaan-celaan sahaja.
Apakah
gerangan yang menyebabkan timbulnya keadaan semacam itu? Dan bagaimanakah
caranya supaya kita dapat menyingkapkan keadaan yang sebenarnya?
Jawabnya
ialah: Bani Umaiyah sering terpaksa melawan kelompok Bani Hasyim.
Mu'awiyah misalnya, terpaksa berjuang melawan Ali, dan ia telah berhasil
mencapai kemenangan. Yazid, putera Mu'awiyah, berjuang melawan Husain, putera
Ali, dan akhirnya Husain tewas. Begitu pula cucu Husain, iaitu Zaid bin Ali,
bersama puteranya yang bernama Yahya, telah tewas dalam pertempuran-pertempuran
melawan pasukan Bani Umaiyah. Tetesan darah mereka besar pengaruhnya kepada
para ahli-riwayat dan para penulis buku-buku sejarah. Ahli-ahli-riwayat dan
penulis-penulis sejarah dari golongan Syi'ah umpamanya, dengan keras menyatakan kemarahan terhadap Bani Umaiyah, dan mereka gambarkan Bani Umaiyah
itu sebagai manusia-manusia yang kasar dan buas.
Adapun ahli-ahli sejarah di luar golongan Syi'ah, tidaklah berpendapat
seperti itu. Akan tetapi mereka berusaha sedapat mungkin untuk tidak
menyinggung perasaan umum. Mereka lebih mengutamakan keselamatan diri. Sebab itu
mereka menghindari pembicaraan-pembicaraan mengenai masalah tersebut di atas,
atau kalau membicarakannya hanyalah sepintas lalu saja.
Tidak
dapat dibantah bahawa situasi akan berbeza samasekali seandainya tuduhan
memberikan perlindungan kepada pembunuh-pembunuh Khalifah Usman dan kemudian
membentuk tentera dari mereka ini, dilemparkan oleh Mu'awiyah kepada orang
lain, bukan kepada Ali. Begitu juga seandainya Yazid bin Mu'awiyah dulunya
tidak memusuhi dan menewaskan Husain bin Ali. Jadi sebenarnya masalah ini
bukanlah merupakan suatu kesalahan besar dalam sejarah. Soalnya ialah keinginan
suatu golongan untuk mengambil keuntungan dari tetesan darah Ah/ilbait
(keluarga Rasulullah) itu. Orang-orang Syi'ah atau penganjur-penganjurnya telah
menggunakan peristiwa itu sebagai senjata untuk merangsang pendapat umum
terhadap Bani Umaiyah. Di masa itu orang-orang Syi'ah ini sering menjadi
gerombolan-gerombolan yang menimbulkan huruhara dan mencetuskan
pemberontakan-pemberontakan, walaupun mereka ini sebenarnya tidak mempunyai
hubungan darah samasekali dengan Ali dan anakcucunya. Malah seringkali
orang-orang inilah yang menipu dan mengkhianati Ali dan keturunannya atau
kata-kanlah: orang-orang Syi'ah inilah sebenarnya yang telah membunuh mereka
dengan pedangnya, dan setiapkali mereka selesai membunuh, mereka pura-pura
meratapi si korban, dan menuntut bela atas kematiannya itu.
Gerombolan
pengacau yang serupa ini amatlah ditakuti dan telah menyebabkan gentarnya para
ahliriwayat sehingga mereka tidak berani meriwayatkan apa yang sebenarnya dapat
mereka riwayatkan tentang kejayaan Bani Umaiyah. Demikian pula hal-nya dengan
para penulis sejarah. Merekapun merasa takut, sehingga tidak berani menuliskan
keterangan-keterangan ahli riwayat yang telah sampai kepada mereka. Dengan demikian
hilang-lenyaplah sejarah dalam kegelapan yang ditimbulkan oleh kezaliman
orang-orang yang menamakan diri mereka Syi'ah Ahlilbait padahal mereka
itu sebenarnya merupakan musuh yang paling jahat terhadap Ahlilbait dan juga
terhadap Islam.
Sebelum
fakta-fakta sejarah itu sempat dituliskan, Daulah Umawiyah telah runtuh. Di
atas puing-puing keruntuhannya itu berdirilah Daulah Abbasiyah. Daulah
Abbasiyah telah mengikis sisa-sisa kejayaan Bani Umaiyah yang masih ada. Malah
mereka telah melakukan hal-hal yang menambah gelap dan buruknya sejarah Bani
Umaiyah itu.
Tak dapat dibantah
bahwa pada hakikatnya orang-orang Alawiyin — iaitu pengikut-pengikut Ali r.a. —
lebih banyak menderita di bawah penindasan Bani Abbas dibanding kepada penderitaan
yang mereka alami kerana tindakan-tindakan Bani Umaiyah. Akan tetapi
fakta-fakta itu tidak tercatat dengan sempurna dalam sejarah, kerana Daulah
Abbasiyah itu telah diberkati dengan umur panjang, dan di masa kekuasaan mereka
pulalah baru dimulainya pembukuan sejarah. Sebab itu, apa-apa yang ditulis oleh
ahli-ahlisejarah di masa itu terang terpengaruh oleh kekuasaan Bani Abbas.
Yazid bin Mu'awiyah telah dituduh
sebagai seorang yang bodoh dan jahat perangai. Begitu pula Yazid bin Abdul
Malik dan puteranya yang bernama al-Walid. Tetapi tanpa ragu-ragu bahawa ada
berpuluh-puluh orang di antara Khalifah-Khalifah Abbasiyin dan Fatimiyin yang
sama bodoh dan jahat perangainya juga. Dalam pada itu sejarah telah menutupi
banyak di antara keburukan-keburukan mereka. Ahli-ahli sejarah di masa itu
telah menumpahkan segala kekurangan-kekurangan tersebut kepada Bani Umaiyah
dengan cara mencari-cari ke sana-sini sebab-sebab kekurangan itu.
Kalau di sini kita tidak
mengemukakan Khalifah-Khalifah Bani Umaiyah yang dianggap sebagai orang-orang
yang lemah dan orang-orang semacam itu pada hakikatnya selalu ada dalam
tiap-tiap negara manapun jua — namun di sini kita akan menyebutkan nama
beberapa orang Khalifah Bani Umaiyah yang dapat diletakkan pada taraf yang
tertinggi, sejajar dengan nama ahli-ahli politik ulung di seluruh dunia, yang
telah muncul pada tiap-tiap masa sejarah. Tanpa ragu-ragu, kita cantumkan di
antara nama-nama itu: Mu'awiyah, Abdul Malik bin Marwan, al-Walid bin Abdul
Malik dan Umar bin Abdul Aziz, serta beberapa orang Khalifah Bani Umaiyah yang
pernah memegang kekuasaan di Andalusia. Dan tanpa ragu-ragu pula, kita dapat
menegaskan bahwa amat sedikitlah jumlah Khalifah-Khalifah Abbasiyin, Fatimiyin
dan Adarisah (Idrisyah), yang dapat menandingi Khalifah-Khalifah Bani Umaiyah
yang kita sebutkan di atas.
Yang anehnya bahawa ahli-ahli sejarah
pada zaman kita ini, baik dari golongan kaum Muslimin sendiri, ataupun dari
puak orientalis, menerima apa-apa yang ditulis oleh sejarah zaman dahulu itu
sebagai fakta-fakta yang benar. Sebab itulah pembahasan-pembahasan sejarah yang
dilakukan pada zaman moden ini kebanyakannya sangat jauh dari rasa keadilan.
Sepatutnya sejarah Bani Umaiyah ini ditinjau kembali dan diulang menulisnya.
Penulisannya harus berdasarkan kepada fakta-fakta yang benar, yang dapat dicari
dan dilihat pada bekas-bekas peradaban dan kebudayaan yang ditinggalkan oleh
Bani Umaiyah disaksikan di Damaskus (Damsyik) dan lain-lain ibukota
negara-negara Islam di Andalusia (Sepanyol).
Labels:
Bani Umayyah,
Sejarah
Subscribe to:
Posts (Atom)