Tuesday, May 29, 2012

'The Unmaking of Malaysia

Sebuah buku yang baru diterbitkan, yang menceritakan peristiwa-peristiwa 'di belakang tabir' mengenai dunia perniagaan jutawan Tan Sri Vincent Tan, tidak dijual di rangkaian kedai buku Borders yang dikuasai oleh ahli perniagaan tersebut.

Buku dalam bahasa Inggeris bertajuk 'The Unmaking of Malaysia itu ditulis oleh bekas Pengurus Besar Bernama, Ahmad Mustapha Hassan (foto) - seorang bekas aktivis pelajar, kakitangan awam, aktivis politik dan diplomat.

Di samping fokus tentang politik Umno, buku itu juga turut menceritakan bagaimana Vincent Tan menubuhkan syarikat Sports Toto (M) Sdn Bhd dalam tahun 1980-an.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad Mustapha (foto) berkata beliau telah dimaklum oleh penerbit bukunya bahawa rangkaian kedai buku Borders tidak akan menjual bukunya.
"Nampaknya, saya telah menulis mengenai perkara-perkara tertentu yang tidak bagus untuk Vincent Tan (foto)," katanya.

Kedai Borders di The Berjaya Times Square pula memberitahu, pihaknya 'sudah kehabisan bekalan" buku tersebut.

Ahmad Mustapha berkata, Borders telah membuat menempah bukunya, tetapi dipercayai, satu pekeliling dalaman telah mengarahkan supaya buku tersebut tidak dipamerkan di rak buku.
Bidang perniagaan Vincent Tan (foto) turut membabitkan bidang hartanah dan media.

Hubungan jadi dingin
Buku setebal 282 muka surat itu turut mengandungi kisah-kisah 'di belakang tabir' mengenai legasi dua bekas Perdana Menteri - Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Mustapha pernah menjadi setiausaha akhbar kepada Abdul Razak dan kemudian berkhidmat dengan Dr Mahathir ketika menjadi timbalan perdana menteri.
Selepas itu, pada 1980, Ahmad Mustapha berkhidmat dengan agensi berita nasional, Bernama sehingga 1987.

Dalam bukunya itu, beliau menggambarkan Tun Abdul Razak sebagai seorang yang rendah diri dan mengambil berat terhadap rakyat.

Manakala Dr Mahathir pula, digambarkan oleh Ahmad Mustapha, sebagai seorang yang terburu-buru 'yang menyemai benih kebencian dan perpecahan' di kalangan orang Melayu dan seorang yang 'yang tidak mempedulikan aturan dan peraturan'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula digambarkan sebagai seorang yang berusaha untuk mengembalikan legasi Tun Razak dalam usaha membasmikan kemiskinan rakyat.

Buku itu juga mengandungi bab-bab mengenai kapitalisme di Malaysia di mana Ahmad Mustapha menceritakan secara terperinci pertemuannya dengan Vincent Tan dan seorang lagi jutawan, Tan Sri T Ananda Krishnan.

Ahmad Mustapha berkata, beliau telah memperkenalkan Tan kepada Dr Mahathir dalam satu lawatan ke Rome pada 1984.

"Saya telah menasihatkan beliau mengenai pendekatan dan kandungan cadangannya untuk mengswastakan Sports Toto. Cadangan tersebut bertujuan untuk memastikan operasi syarikat itu lebih cekap dan menguntungkan," tulisnya.

Selepas berkhidmat dengan Bernama, beliau menyertai Berjaya Textiles Bhd - salah sebuah syarikat milik Vincent Tan - tetapi hubungan mereka bertukar menjadi dingin yang menurut Ahmad Mustapha kerana jutawan itu tidak menunaikan beberapa janjinya kepada beliau.

Buku tersebut akan dilancarkan pada 14 November ini di Kelab Diraja Selangor oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, yang bersama Team B menentang Team A pimpinan Dr Mahathir pada 1987. Abdullah juga bersama dengan Team B.

No comments: