Sunday, October 23, 2011

Tidak membayar hutang RM150 kena penjara

Lewat bayar hutang RM150 saja, mahkamah arahkan orang Melayu ini dipenjarakan. Melayu bernama Suradi ni bukan kaki rasuah, bukan kaki betina, bukan perompak, bukannya murtad. Beliau ditimpa kemalangan menyebabkan beliau terpaksa menjual kereta, tetapi ditipu.

Namun beliau tetap berusaha membayar hutang, isteri beliau juga bekerja, berlapar untuk membantu suami.


   
RAYU BEBAS SUAMI MUFLIS DARI PENJARA

Berita Harian 17 Okt 2011

   
KUALA LUMPUR: Suri rumah Rosnah Mohd Sailan, 43, kini terpaksa menyara tiga anak yang masih bersekolah selepas suaminya, Suradi Daruis, 43, dipenjarakan sebulan kerana melanggar perintah mahkamah membayar RM100 sebulan selepas beliau diisytiharkan muflis gagal membayar ansuran bulanan kereta yang dijual kepada pihak ketiga.
 
Wanita dari Kg Bukit Naga, Bukit Kemuning, Shah Alam itu bimbang suaminya akan dibuang kerja, sekali gus menyebabkan masa depan mereka sekeluarga tidak terjamin selain suaminya mungkin gagal mendapat kerja baru kerana statusnya bekas banduan dan muflis. “Saya merayu mahkamah bebaskan suami saya, kalau saya tahu begini jadinya kami sekeluarga rela tidak makan untuk bayar semua tunggakan itu,” katanya kepada Berita Harian, ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, semalam.
 
Rosnah berkata, suaminya kemalangan pada 1997 dihempap besi satu tan menyebabkan sebelah kaki remuk dan tidak bekerja selama setahun sekali gus memaksa menjual kereta Proton Saga miliknya kepada kenalan adiknya yang gagal membayar ansuran bulanan kenderaan itu.
 
Sehubungan itu katanya, bank terbabit menarik dan melelong kereta itu selain suaminya diisytiharkan muflis kerana gagal membayar ansuran kereta itu dan beliau (pemilik) serta Suradi (penjamin) diperintah membayar RM30,000 dan RM34,000 kepada pihak bank.
 
Rosnah berkata, beliau mengambil upah RM300 sebulan dengan mengasuh anak jirannya bagi menampung pendapatan suaminya RM1,200 sebulan bagi membiayai keperluan anak mereka yang berumur antara 12 dan 17 tahun.
   
SUDAH DIISYTIHAR MUFLIS, DIPENJARA PULA SEBULAN
Berita Harian 24 Okt 2011
 
SURADI Darius, berusia 43 tahun diisytiharkan bankrap pada 2004 akibat kegagalan melangsaikan hutang pinjaman kereta. Suradi diarahkan Pejabat Insolvensi Malaysia untuk membayar ansuran RM50 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang selari dengan perintah mahkamah bertarikh 4 Mac 2005.
 
Isteri Suradi, Rosnah Mohd @ Sailan sebagai penjamin juga diisytihar bankrap. Suradi terpaksa membayar hutang isterinya RM50 sebulan menjadikan ansuran bulanannya ialah RM100.
 
Suradi tidak mempertikaikan keputusan mahkamah pada 27 September lalu kerana berdasarkan undang-undang. Namun, adalah keterlaluan dan tidak setimpal jika beliau dipenjarakan sebulan hanya kerana gagal membayar baki RM150.
 
Jika Suradi hidup mewah dan enggan mematuhi perintah mahkamah, wajar tindakan memenjarakannya dilaksanakan. Kes Suradi ialah yang pertama di Malaysia dengan tindakan memenjarakan si bankrap dilaksanakan sejajar dengan lunas undang-undang. Namun, persoalannya, adakah wajar dan patut beliau dipenjarakan sebulan?
   
1,086 PENJAWAT AWAM MUFLIS
Berita Harian 3 Mac 2011
 
Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran
 
PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit. “Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.
   
41 BELIA MUFLIS SETIAP HARI GAGAL URUS KEWANGAN
Utusan Malaysia 12 Okt 2011
 
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.