Friday, November 12, 2010

Hukum Hudud dari Manuskrip Undang-undang Kedah

Artikel ini saya dapatkan dari Blog The Malay Press. Satu bukti yang menunjukkan Hukum Hudud telah lama diamalkan di Alam Melayu.

"Adapun akil baligh membunuh seorang Islam dengan sahajanya, laki-laki atau perempuan atau besar, maka yang membunuh itu pun dibunuh pula hukumnya. Tiada harus Islam membunuh sebab membunuh kafir, tiada harus merdeheka dibunuh sebab abdi, tiada harus dibunuh bapa sebab membunuh anaknya. --ms85
Sebermula jika Yahudi membunuh Nasrani atau kafir Majusi maka dibunuh atasnya tiada temannya jika menjadi Islam sekalipun --ms85
Sebermula hukum zina dengan ikrar atau dengan empat orang saksi laki-laki yang merdeheka melihat orang zina itu seperti jolok-jolok masuk celah kangkang. Adapun dua orang saksi berkata Islam melihat dia zina itu pada suatu penjuru lain, maka tiada sabit hukum zina, hendaklah kata empat saksi maka sabit hukum zina itu --ms86
Fasal pada menyatakan hukum bermaki-maki orang dengan maki haram zadah. Jika seorang bermaki seorang maka mungkar yang memaki daripada tiada saksi maka didera delapan puluh kali orang yang memaki...itulah hukumnya --ms86"

Ulasan Penulis
Seperti yang termaktub dalam Manuskrip Undang-undang Kedah, bab hukum itu, seperti di atas ini terhimpun diantara dua nama Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Empayar Islam Benua Siam-Kedah.

Hukum syariat ini dibuka kembali atas arahan Syarif (yakni setelah 30 tahun tidak di kemaskini) lalu diperkemaskan pada hari Isnin, 09 Januari tahun 1785 dizaman Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia. Yang mana Baginda disebut sebagai Syarif, menyuruh muafakatlah antara Datuk Bendahara, Datuk Paduka Maharaja, Datuk Ku Raja Chenak, Datuk Seri Raja Putera dan *Paduka Seri Maharaja Jalil (Khadi) segala hakim-hakim dan menitahkan Menteri Kanun (menteri undang-undang) Datuk Besar Kota Setar menyalin kembali dan di'update - revise' undang-undang tersebut. (ms43)

Adalah dipercayai bahawa Paduka Seri Maharaja Jalil itu adalah Syeikh Abdul Jalil alaihi rahmatullah kadi besar Benua Siam-Kedah. Ini kerana terdapat satu perenggan yang membicarakan tanggungjawab dan kuasa yang tergalas dibahunya untuk menjalankan hukum yang berbunyi seperti berikut:
Akan kebesaran kadi itu tatkala menjatuhkan hukum Allah taala. Jika raja menteri pun turut katanya dan kebesaran Maharaja Jalil itu dalam barang suatu perintah, jika anak raja atau menteri pun bersalah daripada adat berjumpa di dalam lawang dibunuhnya, tiadalah suatu kata lagi, mati sahaja --ms39
Maka seterusnya aduran undang-undang ini ditutup dengan nama seorang lagi Maharaja Melayu dengan gelaran yang sama Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Muhammad Syah di Melaka yang mana undang-undang itu asalnya yang dibuat rujukan.
Adapun zaman Sayidina Ali wa Maulana Paduka Sultan Muhammad Syah di Melaka Johan berdaulat zilullahu fil'alam Adamamallahu taala pada masa baginda menitahkan hukum ini datanglah sekarang ini turun temurun kepada anak cucunya baginda pun kabullah hukum ini tiada lagi bersalahan, semuanya mengikut --ms87
...hubaya-hubaya diturut hukum ini yang tertulis di dalam kertas ini kerana hukum di bawah Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Muhammad Syah yang kerajaan dalam negeri Melaka supaya selamat sempurna kepada negeri yang takluk dan berkasih-kasihan dengan negeri itu, iaitu pada segala Islam yang dilaut dan didarat, wallahualam --88
Menariknya disini adalah telah pun tersebut gelaran Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia yang mana gelaran itu jika disingkatkan menjadi DYMM.

Tersebut juga perkataan Yahudi, Nasrani dan Majusi menunjukan bahawa telah direkodkan bahawa puak-puak ini telah pun dikenalpasti berada di Tanah Melayu ini sejak dari dahulu lagi, dan pernah berbunuhan sesama sendiri. Sudah pasti ada kubur puak-puak Yahudi di Malaysia hari ini cuma tidak digali dan dikenalpasti lokasinya atau pun mungkin tidak dihebahkan secara umum. Membuktikan juga Yahudi dan Nasrani akan tetap berbunuhan hatta di bumi mana sekalipun. Jika mereka ini bersatu maka sudah tentu ada udang disebalik batu ada fitnah yang sedang membisu.

Dan ini juga menunjukkan bahawa Yahudi dan Nasrani adalah tertakluk dibawah undang-undang syariat DYMM Benua Siam-Kedah. Tiada pilih kasih walaupun mereka menjadi Islam mahupun bersahabat dengan seorang Islam dibumi ini.

Tersebut perkataan haram zadah - ini adalah maki hamun yang telahpun menjadi bicara mulut orang Melayu hari ini. Asalnya perkataan ini adalah gabungan Arab dan Parsi.

Maka dengan melihat kepada undang-undang Kedah ini, dapatlah dibuat satu sukatan, dan dapat digambarkan bertapa dekatnya kita umat Melayu di Malaysia ini dengan sebuah penghidupan zaman silam yang tidak banyak bezanya dari segi perangai dan tingkah lakunya. Secara rasionalnya jika di sadur undang-undang itu kepada masyarakat hari ini, pastinya nampak relevan, kerana perkara yang tersebut didalam undang-undang itu masih boleh dipakai malah sesuai dengan kehidupan kita hari ini yang hanya nampak moden dengan konsep rumah terbuka - akibat daripada dasar langit terbuka.

No comments: