Friday, July 2, 2010

PONDAN GODA SEBELUM RAGUT

KUALA LUMPUR: Segelintir pondan dipercayai menggoda dan memperdaya mangsa
dengan pergi ke tempat sunyi sebelum merompak mereka.

Dalam satu kejadian berhampiran Perhentian Bas Jalan Chow Kit di sini malam
kelmarin, selepas merompak, pondan terbabit berpura-pura menjerit dengan
meminta pertolongan kononnya dia diserang oleh lelaki yang dirompaknya.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan
pulang selepas habis bekerja di sebuah hotel di ibu kota.

Lelaki berusia 17 tahun itu dipanggil oleh seorang pondan yang melepak di
perhentian bas berkenaan sebelum ditarik tangannya menuju ke sebuah lorong
gelap.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Bakri Zinin berkata,
selepas pondan itu membawa mangsa ke satu lorong gelap, dia terus meragut
rantai emas dipakai mangsa.

"Mangsa meminta pondan itu memulangkan semula rantai lehernya tetapi
sebaliknya pondan berkenaan menjerit meminta bantuan.

"Sekumpulan empat pondan membantu rakannya yang kononnya cuba dirompak oleh
mangsa (lelaki yang dirompak)," katanya ketika dihubungi Harian Metro,
semalam.

Katanya, mangsa yang takut diserang sekumpulan pondan itu lari bagi
menyelamatkan diri daripada dipukul.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan membuat laporan polis di Balai Polis Dang
Wangi selepas berlaku kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa kehilangan rantai emas tidak mengalami
sebarang kecederaan.

Katanya, sepanjang Mac, kejadian serupa pernah dilaporkan dua minggu lalu
apabila seorang lelaki terpaksa memanjat sehingga bumbung bangunan untuk
menyelamatkan diri daripada diserang oleh sekumpulan pondan.

Sehubungan itu, Mohd Bakri menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati
ketika berjalan seorang diri dan jangan mudah terperdaya dengan ajakan orang
yang tidak dikenali ke kawasan sunyi.

No comments: