Saturday, August 16, 2014

The Truth


Sunni, Syiah usah berbalah: Misi mustahil


Dua pemimpin berpengaruh dunia Islam hari ini merayu umat Islam seluruh dunia tanpa mengira fahaman Sunni atau Syiah supaya segera berdamai dan berhenti berbalah serta berbunuhan sesama sendiri.

Perkara itu diusulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Presiden Iran, Sayyid Muhammad Khatami dalam kenyataan bersama hari ini yang memohon pengikut kedua-dua fahaman terbesar itu menghentikan pertelingkahan dan perbalahan yang telah mengorbankan banyak nyawa.

Menurut mereka, perbalahan yang berterusan itu telah mencemar maruah dan harga diri umat Islam di mata dunia.

"Kami merayu semua Sunni dan Syiah yang sama-sama beriman kepada Allah, kitab suci al-Quran, Nabi Muhammad SAW dan menghadap kiblat yang sama agar menghentikan pertumpahan darah serta-merta.

"Hentikan keganasan, hentikan pertumpahan darah dan hentikan pembunuhan," kata mereka.

Kenyataan satu muka surat itu dibaca oleh Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr. Chandra Muzaffar dalam sidang akhbar Pelancaran Rayuan Bersama kepada Muslim Sunni dan Syiah oleh Dr. Mahathir dan Khatami di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Kedua-dua pemimpin itu menandatangani dokumen tersebut yang turut merayu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mewakili semua negara Islam tanpa mengira mazhab atau fahaman menubuhkan satu jawatankuasa kerja.

Menurut Chandra, jawatankuasa itu berperanan untuk meneliti dengan lebih mendalam jurang perbezaan antara kedua-dua fahaman itu.

"Kami juga merayu kepada setiap individu dan pertubuhan masyarakat madani dari seluruh dunia agar turut serta dalam usaha menghentikan keganasan dan pertumpahan darah serta menggalakkan perdamaian dan kefahaman antara Sunni dan Syiah," katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir ketika ditemui pemberita berkata, semua pihak harus menerima dan bertindak matang dalam mengemukakan perbezaan pendapat masing-masing.

Katanya, jika umat Islam boleh bersikap toleransi terhadap penganut agama lain seharusnya mereka juga boleh bersikap sedemikian terhadap saudara seagama.

"Apa yang penting, kita terima perbezaan pendapat itu dan berhenti membunuh satu sama lain kerana kita sembah Tuhan yang sama, mengikut nabi yang sama dan berpandu kepada kitab yang sama.

"Jika kita saling bunuh membunuh, musuh Islam akan bertepuk tangan kerana gembira kita melakukan kerja itu bagi mereka, jadi sudah tiba masanya kita semua berhenti melakukan keganasan sesama Islam," katanya.